
PETALING JAYA, 16 Jun – Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melancarkan projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) pertamanya di Lembah Klang menerusi pembangunan The Linque yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM600 juta.
- Pembangunan dihubungkan terus ke Stesen MRT Cochrane, memperkukuh bandar bersepadu berasaskan rangkaian pengangkutan awam.
- TOD dianggap pemacu pertumbuhan ekonomi dan komuniti mampan, memungkinkan hidup, bekerja dan membeli-belah tanpa bergantung kenderaan persendirian.
- Pemaju digesa meluaskan konsep keterhubungan melangkaui sempadan projek bagi mewujudkan persekitaran bandar yang benar-benar berhubung.
Projek yang dibangunkan bersama IJM Land Bhd itu akan dihubungkan secara terus dengan Stesen MRT Cochrane dan dilihat sebagai langkah memperkukuh pembangunan bandar bersepadu berasaskan rangkaian pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek berkenaan mencerminkan pendekatan baharu dalam memanfaatkan infrastruktur pengangkutan awam sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan komuniti bandar yang lebih mampan.
“Konsep TOD bukan sekadar pembangunan hartanah, sebaliknya merupakan usaha mewujudkan komuniti bersepadu yang membolehkan masyarakat tinggal, bekerja, membeli-belah dan bergerak dengan lebih mudah, selain mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.
“Pada masa sama, ia memastikan infrastruktur pengangkutan awam terus menjana nilai dan manfaat jangka panjang walaupun selepas pembinaannya siap,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek itu hari ini.
Anthony berkata, kejayaan rangkaian rel tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah tren yang beroperasi atau bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatannya.
“Ukuran sebenar kejayaan ialah nilai ekonomi dan sosial yang diwujudkan di sekitar rangkaian tersebut.
“Setiap stesen MRT perlu menjadi lebih daripada sekadar hab pengangkutan. Ia perlu berfungsi sebagai pemangkin pelaburan, peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi dan pembangunan komuniti yang dinamik,” katanya.
The Linque bakal menawarkan kira-kira 586 unit apartmen perkhidmatan bersama komponen runcit serta akses berbumbung secara terus ke Stesen MRT Cochrane.
Beliau berkata, beberapa bandar utama dunia seperti Hong Kong, Taipei, Seoul, Tokyo dan Singapura telah membuktikan bahawa integrasi antara pembangunan hartanah dan infrastruktur rel mampu mewujudkan ekosistem bandar yang mampan dan berdaya saing.
Menurutnya, Malaysia kini sedang bergerak ke arah yang sama dalam usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta memperkukuh pembangunan bandar yang lebih tersusun.
Dalam pada itu, Anthony turut menggesa pemaju hartanah supaya memperluaskan konsep keterhubungan melangkaui sempadan projek masing-masing.
Tambah beliau, kerjasama sedemikian penting bagi mewujudkan persekitaran bandar yang benar-benar berhubung, sekali gus membolehkan orang ramai bergerak dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung kepada kenderaan persendirian bagi perjalanan jarak dekat.