Krisis bekalan asas Bolivia masih berterusan

Foto AFP

LA PAZ, 16 Jun – Sekatan jalan raya yang melumpuhkan laluan masuk ke bandar-bandar utama di Bolivia dilaporkan mula berkurangan pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Krisis kekurangan bahan api, makanan dan barangan asas berlanjutan selepas lebih sebulan protes besar-besaran menentang Presiden Rodrigo Paz.
  • Harga daging dan sayur-sayuran melambung, mencatat kira-kira dua kali ganda berbanding biasa.
  • Sektor kesihatan terjejas, bekalan ubat menyusut sementara warga terpaksa bermalam dalam kenderaan menunggu giliran mengisi minyak.
  • Penunjuk perasaan menuntut pembatalan reformasi tajaan AS dan peletakan jawatan; kerajaan mengancam mengerahkan tentera serta mengisytiharkan darurat.

Bagaimanapun, krisis kekurangan bekalan bahan api, makanan dan barangan keperluan asas lain masih berlarutan selepas lebih sebulan protes besar-besaran dilancarkan bagi menentang Presiden Rodrigo Paz.

Kumpulan penunjuk perasaan menuntut pembatalan reformasi ekonomi tajaan Amerika Syarikat (AS) yang diperkenalkan Paz yang bertujuan merombak dasar kerajaan sosialis selama 20 tahun lalu serta mendesak peletakan jawatan beliau.

Menurut Pentadbiran Lebuhraya Bolivia, jumlah sekatan jalan yang menghalang hantaran bekalan ke bandar utama seperti La Paz telah menurun daripada lebih 100 sekatan kepada 50 sekatan pada Isnin.

Di La Paz, orang ramai dilihat beratur panjang di luar pasar raya milik kerajaan selepas tersebarnya berita mengenai penjualan ayam pada harga diskaun.

Namun, situasi berbeza berlaku di kedai-kedai sektor swasta di sekitar ibu kota dan bandar berhampiran, El Alto.

Kelonggaran sekatan pengangkutan tersebut belum memberi kesan apabila harga daging dan sayur-sayuran masih melambung dua kali ganda daripada harga biasa.

Krisis ini turut menjejaskan sektor kesihatan apabila bekalan ubat-ubatan di hospital semakin menyusut, manakala warga kota terpaksa bermalam di dalam kenderaan selama beberapa hari bagi menunggu giliran mengisi minyak di stesen minyak.

“Semua orang sedang menderita dan kerajaan pula tidak mengambil sebarang keputusan. Mereka hanya berharap penunjuk perasaan menjadi letih atau bosan lalu membuka sendiri sekatan tersebut,” luah Paola Herrera, 50, seorang pekerja syarikat lori yang terpaksa beratur selama lima jam semata-mata untuk membeli seekor ayam.

Kumpulan demonstrasi yang majoritinya terdiri daripada pekerja kolar biru, petani, pelombong, pemandu lori dan guru telah menolak keras pelan ekonomi Paz yang dirancang untuk menangani krisis ekonomi terburuk negara Amerika Selatan itu dalam tempoh 40 tahun.

Paz baharu memegang tampuk pemerintahan selama tujuh bulan, menyaksikan pelantikan beliau telah menamatkan penguasaan kerajaan sosialis selama dua dekad di Bolivia.

Setakat ini, kesatuan-kesatuan sekerja utama yang menggerakkan protes telah menolak pelawaan dialog oleh pihak kerajaan.

Sehubungan itu, Paz menyatakan beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengerahkan pihak tentera dan mengisytiharkan darurat yang bakal menyekat hak kebebasan berhimpun dan bergerak.

Minggu lalu, Paz mendakwa bahawa protes yang mendesak peletakan jawatannya itu didalangi oleh kumpulan yang dikaitkan dengan bekas ikon sosialis negara, Evo Morales.- AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.