
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Prestasi Maybank masih perlu dipertingkat meskipun berjaya mencatat kemenangan besar 8-1 ke atas ATM dalam saingan Liga Hoki TNB 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
- Jurulatih menyeru perbaiki kelemahan hantaran dan penerimaan bola yang kurang konsisten segera.
- Kesilapan mudah tidak sepatutnya berlaku jika mahu menjadi pencabar utama kejuaraan liga.
- TNB dianggap lawan kuat dengan pemain kebangsaan dan import Korea, keutamaan memperbaiki prestasi Maybank.
Ketua jurulatihnya, Iman Gobinathan Abdullah menegaskan, terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu diperbaiki segera terutama dalam aspek hantaran dan penerimaan bola yang dilihat kurang konsisten.
“Saya perlu meneliti punca perkara ini berlaku. Jika kita mahu menjadi pasukan yang kuat untuk menjuarai liga, kita tidak boleh memberi ruang kepada kesilapan seperti ini.
“Walaupun menang 8-1, kejohanan masih panjang dan kita perlu terus fokus kepada peningkatan prestasi serta memanfaatkan setiap peluang yang ada,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Beliau berkata, kesilapan mudah tidak seharusnya berlaku jika pasukan berhasrat untuk muncul sebagai pencabar utama kejuaraan liga musim ini.
Sementara itu, mengulas persiapan menghadapi perlawanan seterusnya menentang TNB, beliau menyifatkan lawan itu sebagai pasukan yang kuat dengan barisan pemain kebangsaan dan seorang pemain import dari Korea Selatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan ketika ini adalah memperbaiki prestasi pasukan sendiri dan meningkatkan tahap permainan secara keseluruhan bagi memastikan Maybank kekal kompetitif dalam saingan liga.