11 pendaki terkandas di air terjun Sungai Pisang berjaya diselamatkan

Foto BBP Selayang

BATU CAVES, 8 MeiKira-kira 11 pendaki berdepan detik cemas selepas terkandas akibat arus deras di kawasan terowong berhampiran denai air terjun Sungai Pisang, di sini, sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba sekitar pukul 5.15 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan bomba gunakan tali penyelamat dan peralatan Personal Flotation Device bagi membawa mangsa merentasi arus deras dengan selamat.
  • Enam anggota dan jentera BBP Selayang dikerahkan, tiba di lokasi selepas perjalanan 21 kilometer untuk operasi menyelamat.
  • Operasi ditamatkan pada 7.02 malam setelah pemeriksaan rapi memastikan semua mangsa selamat dan berada dalam keadaan stabil.

Kesemua mangsa, yang terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita, dibawa keluar menggunakan peralatan keselamatan khas selepas laluan keluar mereka terputus berikutan paras air sungai yang meningkat secara mendadak sehingga menghalang laluan menyeberang.

Komander Operasi, PBK I Shahrul Nizam Ramlee memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 petang dan sepasukan enam anggota bersama jentera penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi.

“Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada pukul 4.45 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 21 kilometer.

Pemeriksaan mendapati kesemua mangsa terperangkap di dalam kawasan terowong berikutan arus sungai yang sangat deras.

“Operasi menyelamat dilakukan dengan menggunakan tali penyelamatan serta peralatan Personal Flotation Device (PFD) bagi memastikan setiap mangsa dapat dibawa keluar dengan selamat merentasi arus tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan terperangkap di dalam kawasan terowong akibat arus sungai yang deras sehingga menghalang laluan untuk menyeberang keluar.

Mangsa terdiri daripada lima lelaki dan enam perempuan Melayu.

Operasi menyelamat dijalankan menggunakan tali penyelamatan serta peralatan Personal Flotation Device (PFD) bagi memastikan semua mangsa dapat dibawa keluar dengan selamat.

Menurut beliau, pasukan bomba turut melakukan pemeriksaan rapi di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada pendaki lain yang terlibat atau bahaya sampingan yang boleh mengancam keselamatan awam.

Operasi menyelamat tersebut ditamatkan pada pukul 7.02 malam setelah kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan stabil.