Tragedi Kem Hobart: Mangsa maut cedera parah di bahagian badan

Suasana Lapang Sasar Kem Hobart Gurun, Kedah / foto RTM

SUNGAI PETANI, 16 Jun – Dua anggota tentera maut dipercayai terkena letupan bom ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart Gurun, mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis buka kertas siasatan, klasifikasikan kes sebagai kematian mengejut dan akan merakam keterangan saksi.
  • Jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
  • Tentera Darat sahkan kejadian sekitar 10.57 pagi semasa latihan RAJD; Koperal Norazmi Abu Bakar dan Prebet Siti Khadijah dinamakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang ke atas.

Menurut beliau, pihak polis akan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan.

“Polis telah membuka kertas siasatan dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya di sini.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua jenazah telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 10.57 pagi ketika Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia.

Menurut kenyataan itu, dua anggota terbabit ialah Koperal Norazmi Abu Bakar dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Kedua-dua anggota berkenaan dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.