
ALOR SETAR, 16 Jun – Seramai tujuh saksi dalam insiden letupan bom yang mengakibatkan dua anggota tentera maut semasa menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun pagi tadi, telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
- Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR); punca masih dalam siasatan.
- Polis bekerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Malaysia untuk siasatan termasuk pematuhan SOP latihan.
- Dua anggota tentera maut akibat kecederaan parah selepas letupan semasa latihan; meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
- Jenazah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat; pengambilan keterangan saksi disambung.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, kesemua saksi yang dipanggil berada di lokasi ketika kejadian.
“InsyaAllah esok kita akan sambung lagi untuk mengambil keterangan saksi-saksi lain bagi membantu siasatan.
“Peserta-peserta yang terlibat dalam kursus dan sebagainya, kesemua mereka berada di lokasi kejadian,” jelas beliau.
Beliau ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah di sini malam ini.
Setakat ini katanya kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan punca kejadian masih disiasat.
Tambah beliau, pihaknya bekerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjalankan siasatan lanjut termasuk berkait pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa latihan dijalankan.
Dalam kejadian kira-kira 10.57 pagi tadi, dua anggota tentera iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar dan Prebet Siti Khadijah Sungip disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah yang dialami ekoran letupan bom semasa latihan.
Jenazah kedua-dua anggota tentera terbabit kemudian telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat.