
KUALA LUMPUR, 9 Mei – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus mampu memberi kestabilan kepada pengguna dan perniagaan dalam merancang kedudukan kewangan mereka.
- Dasar monetari semasa dilihat terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
- Pengekalan OPR mewujudkan kepastian terhadap kos pembiayaan bagi individu dan syarikat peminjam.
- Keadaan ini membolehkan isi rumah dan perniagaan merancang modal pusingan serta perbelanjaan dengan lebih baik.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pendirian dasar monetari semasa dilihat terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, pengekalan OPR turut mewujudkan kepastian terhadap kos pembiayaan bagi individu dan syarikat yang mendapatkan kemudahan pinjaman daripada institusi perbankan.
“Bagi mereka yang mahu mendapatkan fasiliti pembiayaan daripada institusi perbankan, pengekalan OPR ini sudah pasti akan mewujudkan suatu bentuk kepastian dalam tempoh terdekat bahawa kos pembiayaan itu akan kekal stabil,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, keadaan itu membolehkan isi rumah serta perniagaan membuat perancangan kewangan dengan lebih baik termasuk berkaitan modal pusingan dan perbelanjaan semasa.
“Ini akan membantu sedikit sebanyak dari segi perancangan perniagaan, dari segi modal, serta modal pusingan bagi individu dan isi rumah. Mereka boleh merancang bagaimana mereka perlu merencana kedudukan kewangan mereka pada masa terdekat ini,” katanya.
Khamis lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus dalam mesyuaratnya ketiga untuk tahun ini.
Bank pusat telah mengekalkan kadar sama sejak Julai 2025, selepas menurunkan penanda aras itu sebanyak 25 mata asas pada bulan sama.