Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Menurut Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Petronas kini pada peringkat akhir memuktamadkan sumber bekalan baharu bagi memastikan kesinambungan bekalan minyak negara dalam tempoh seterusnya. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Satu pelan berkaitan kesinambungan bekalan minyak negara bakal diwujudkan, susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan kesinambungan bekalan minyak negara kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat.
  • Pelan memfokuskan usaha memastikan bekalan minyak domestik mencukupi bagi menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi negara.
  • Petronas memuktamadkan sumber baharu, sementara kerajaan meneroka kerjasama serantau dan cadangan rizab ASEAN memerlukan perincian rangka kerja dan diplomasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan pelan tersebut pada pertengahan bulan ini.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelan kesinambungan bekalan minyak negara itu, kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pelan tersebut memfokuskan kepada usaha memastikan bekalan minyak domestik kekal mencukupi bagi menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi negara selepas kerajaan sebelum ini memberi jaminan bekalan semasa mampu bertahan sehingga Jun.

Menurutnya, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kini pada peringkat akhir memuktamadkan sumber bekalan baharu bagi memastikan kesinambungan bekalan minyak negara dalam tempoh seterusnya.

“Ketika ini Petronas berada di peringkat akhir untuk memastikan bekalan seterusnya. Ini antara pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri bagi memastikan kegiatan ekonomi terus berjalan.

“Bekalan yang kita peroleh selama ini banyak datang dari Asia Barat, namun sumber-sumber baharu sedang dimuktamadkan. Perdana Menteri akan mengemukakan jadual seterusnya bagi bekalan minyak negara.

“Perdana Menteri sebelum ini telah menyatakan bahawa beberapa sumber baharu sedang dimuktamadkan dan beliau dijangka mengemukakan jadual seterusnya berkaitan bekalan minyak negara,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Forum Krisis Tenaga 2026 sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Universiti Malaya (UMES) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, simpanan minyak negara ketika ini masih berada pada tahap operasi, namun Malaysia masih mampu bertahan meskipun berlaku gangguan bekalan hasil langkah intervensi dan pengurusan yang dilaksanakan.

“Kita masih boleh bertahan dan dari segi kekuatan penyusunan operasi, ia sangat membantu kerana kita mempunyai Petronas yang sentiasa menilai keperluan ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain usaha domestik, katanya kerajaan turut melihat kerjasama serantau sebagai antara pendekatan penting untuk memperkukuh daya tahan bekalan tenaga.

Beliau berkata, ini berikutan idea untuk membangunkan rizab berkenaan turut membabitkan aspek diplomasi dan hubungan antara negara-negara ASEAN.

Cadangan untuk membangunkan rizab stok bekalan serantau juga telah dibincangkan oleh pemimpin serantau dalam Sidang Kemuncak Asean ke-48 di Cebu, Filipina yang berakhir semalam.

Dan cadangan tersebut menurutnya, perlu melalui penelitian dari segi aspek rangka kerja dan mekanisme pelaksanaannya.

“Di peringkat ASEAN, saya difahamkan ada perbincangan dalam konteks sekiranya wujud keperluan untuk mewujudkan simpanan di peringkat serantau.

“Namun begitu, dari segi rangka kerja, mekanisme dan sebagainya, ia memerlukan perincian yang lebih lanjut kerana selain isu bekalan, ia juga melibatkan soal diplomasi serta hubungan antara negara-negara ASEAN untuk kita meneroka idea tersebut di peringkat rantau,” katanya.