UK gerakkan HMS Dragon ke Asia Barat, lindungi laluan Selat Hormuz

Foto REUTERS

LONDON, 9 Mei – United Kingdom (UK) akan menghantar kapal pemusnah, HMS Dragon ke Asia Barat sebagai langkah persediaan bagi menyertai misi antarabangsa untuk melindungi laluan perkapalan komersial di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • UK dan Perancis mengetuai gabungan multinasional bersedia mengawal Selat Hormuz apabila keadaan mengizinkan.
  • Langkah ini bertujuan memperkukuh keyakinan sektor perkapalan komersial dan membantu pembersihan periuk api selepas konflik.
  • Selat Hormuz merupakan laluan maritim utama, sebelum perang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak global.
  • Aktiviti perdagangan merosot selepas Iran menutup sebahagian besar selat, mencetuskan ketidaktentuan pasaran dan kenaikan harga minyak.

Kementerian Pertahanan UK (MoD) memaklumkan pengerahan aset itu merupakan sebahagian daripada perancangan rapi bagi memastikan UK berada dalam kesiapsiagaan tinggi untuk mengetuai gabungan multinasional bersama Perancis.

“Penempatan awal HMS Dragon adalah sebahagian daripada perancangan berhati-hati bagi memastikan UK bersedia, sebagai sebahagian daripada gabungan pelbagai negara yang dipimpin bersama oleh UK dan Perancis, untuk mengawal selat berkenaan apabila keadaan mengizinkan,” menurut jurucakap kementerian tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah itu juga bertujuan untuk memperkukuh keyakinan sektor perkapalan komersial serta menyokong usaha pembersihan periuk api di laluan strategik tersebut sebaik sahaja konflik berakhir.

Selat Hormuz merupakan laluan maritim paling penting di dunia yang sebelum ini mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global sebelum tercetusnya peperangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran pada Februari lalu.

Bagaimanapun, aktiviti perdagangan di laluan tersebut merosot mendadak dalam beberapa bulan kebelakangan ini selepas Iran bertindak menutup sebahagian besar selat berkenaan, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan pasaran dan kenaikan harga minyak dunia.

Situasi di rantau Asia Barat terus tegang susulan pertempuran maritim terbaharu melibatkan serangan jet pejuang AS terhadap kapal tangki Iran pada Jumaat, yang kemudiannya dibalas dengan serangan balas oleh Tehran.

Bulan lalu, perancang ketenteraan daripada lebih 44 buah negara telah mengadakan pertemuan di London bagi membincangkan mekanisme misi multinasional untuk menjamin kebebasan pelayaran di Selat Hormuz. – AFP