Syria, Lubnan perkukuh kerjasama ekonomi dan keselamatan

Foto AFP

DAMSYIK, 9 Mei – Syria dan Lubnan hari ini memulakan langkah proaktif dalam membina semula hubungan dua hala dengan memfokuskan kepada pemulihan sektor ekonomi, pengangkutan, tenaga serta kerjasama keselamatan yang lebih jitu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan Presiden Syria Ahmed al-Sharaa dengan Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam merapatkan jurang diplomatik selepas kejatuhan rejim Assad.
  • Perbincangan menumpukan strategi pembangunan kerjasama perdagangan dan memperkasakan koordinasi keselamatan menghadapi cabaran serantau.
  • Lubnan menekankan kawalan sempadan lebih ketat untuk membanteras penyeludupan di sepanjang laluan sempadan sejauh 330 kilometer.
  • Lawatan dianggap titik tolak bagi menjamin keselamatan serantau dan menyelesaikan isu kemanusiaan termasuk tahanan serta individu hilang.

Langkah itu dizahirkan menerusi pertemuan antara Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa dan Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam di sini, dalam usaha merapatkan kembali jurang diplomatik selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024.

Kenyataan daripada pejabat Presiden Syria memaklumkan, kedua-dua pemimpin membincangkan strategi pembangunan kerjasama perdagangan serta memperkasakan koordinasi keselamatan bagi menghadapi cabaran serantau dan mengekalkan kestabilan di sempadan.

“Fokus utama lawatan ini adalah untuk membangunkan kerjasama bersama, terutamanya dalam sektor ekonomi, pengangkutan dan tenaga yang menjadi tunjang kepada pemulihan kedua-dua negara,” menurut laporan agensi berita rasmi Syria, SANA.

Dalam pertemuan tersebut, Salam yang diiringi barisan menteri kanan Lubnan turut menyentuh kepentingan kawalan sempadan yang lebih ketat bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sepanjang laluan sempadan sejauh 330 kilometer yang memisahkan kedua-dua negara.

Hubungan Beirut dan Damasyik kini dalam fasa penyusunan semula selepas berakhirnya penguasaan dinasti Assad selama berdekad, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan campur tangan dalam urusan dalaman serta pelbagai krisis politik di Lubnan.

Lawatan tersebut turut dianggap sebagai titik tolak penting bagi kedua-dua negara untuk menjamin keselamatan serantau, selain menyelesaikan isu-isu kemanusiaan yang tertunggak termasuk nasib tahanan dan individu yang dilaporkan hilang. – AFP