
KAZAN, 17 Jun – ASEAN dan Rusia perlu merebut peluang yang muncul hasil transformasi teknologi dan perubahan ekonomi global.
- Hubungan 35 tahun perlu diperbaharui dan diperkukuh agar kekal relevan menghadapi cabaran baharu.
- Perkongsian berkembang konsisten melalui dialog yang bermakna, penglibatan ekonomi meningkat dan komitmen saling menguntungkan.
- Kazan dan Tatarstan dijulang sebagai contoh pembangunan kecerdasan buatan, transformasi digital serta peralihan tenaga dan industri.
- Perdana Menteri menghadiri Sidang Peringatan ASEAN Rusia dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Ini termasuk memperluas kerjasama pelbagai hala dan bidang. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan kedua-dua pihak perlu terus diperkukuh agar kekal relevan.
Menurut beliau, kerjasama yang terjalin sejak 35 tahun lalu perlu diperbaharui bagi menghadapi cabaran baharu.
“ASEAN dan Rusia telah menjalin hubungan selama 35 tahun. Kini, kedua-dua pihak perlu memperbaharui komitmen untuk memperluas kerjasama dan merebut peluang hasil transformasi teknologi serta perubahan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia, di sini.
Tambah beliau, perkongsian ASEAN-Rusia telah berkembang secara konsisten sepanjang tiga setengah dekad itu, disokong oleh dialog yang bermakna, penglibatan ekonomi yang semakin meningkat serta komitmen bersama terhadap kerjasama yang saling menguntungkan.

Dalam perkembangan sama Datuk Seri Anwar berkata, Kazan disifatkan sebagai bandar yang berjaya membangunkan pelbagai sektor strategik termasuk kecerdasan buatan, transformasi digital dan peralihan tenaga.
Tegas beliau, kejayaan itu membuktikan kemampuan Tatarstan muncul sebagai hab pembangunan industri dan teknologi.
Beliau turut memuji kemajuan dicapai Tatarstan yang disifatkan mampu menjadi contoh dalam pembangunan teknologi dan industri.
“Kazan merupakan bandar yang mempunyai sejarah dan tradisi yang hebat. Tatarstan juga membuktikan keupayaan dalam pembangunan industri termasuk kecerdasan buatan, transformasi digital dan peralihan tenaga,” katanya.
Perdana Menteri kini berada di Kazan, ibu negeri dan bandar terbesar wilayah Tatarstan, bagi lawatan kerja selama dua hari menghadiri ASEAN-Russia Commemorative Summit yang berlangsung pada 17 hingga 18 Jun.
Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Rusia, Tatarstan dan Russia-ASEAN Business Council atas layanan mesra serta pengaturan yang disediakan sepanjang penganjuran program tersebut.