
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Risiko keselamatan data dan privasi pengguna perlu diberi perhatian dalam menilai penggunaan aplikasi navigasi Waze, terutama membabitkan maklumat pergerakan yang dikumpulkan menerusi platform berkenaan.
- Penggunaan aplikasi berasaskan awan menimbulkan persoalan mengenai pengurusan, penyimpanan dan kawalan akses data pengguna.
- Maklumat pergerakan berpotensi mendedahkan corak perjalanan harian jika tidak dilindungi dengan sewajarnya.
- Data di pelayan pihak ketiga berada di bawah kawalan mereka, tanpa kepastian bagaimana ia dilindungi atau dikongsi.
- Kelemahan pada API boleh dieksploit untuk menjejaki pengguna melalui pengecaman ID dan pengumpulan berulang.
Pakar Kanan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM), Mohd Saufy Rohmad, berkata penggunaan aplikasi berasaskan awan (cloud-based) menimbulkan persoalan mengenai pengurusan, penyimpanan dan kawalan akses terhadap data pengguna.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menjelaskan, maklumat pergerakan pengguna berpotensi mendedahkan corak perjalanan harian sekiranya tidak dilindungi dengan sewajarnya.
“Apabila kita menyimpan data di pelayan pihak ketiga, ini bermakna semua data kita berada bawah kawalan mereka. Kita tidak mengetahui bagaimana data itu dilindungi, bagaimana proses pengesahan dilaksanakan, mahupun kepada siapa data berkenaan dikongsi.
“Jadi, apabila pengguna menggunakan sistem Waze, semua data pergerakan mereka direkodkan dalam pangkalan data. Waze bukan sekadar merekodkan pergerakan pengguna, malah turut mengumpulkan maklumat berkaitan polis, ambulans, kesesakan lalu lintas, destinasi yang dituju serta keadaan aliran trafik, termasuk lokasi yang mengalami pergerakan perlahan atau lancar semua berada dalam pengakalan data Israel,” katanya ketika dihubungi RTM.
Selain itu, beliau membangkitkan kemungkinan kelemahan pada antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) yang berpotensi dieksploitasi bagi menjejaki pergerakan pengguna menerusi pengecaman ID pengguna dan pengumpulan maklumat secara berulang.
Mohd Saufy turut menyentuh dakwaan data pengguna Waze ditawarkan untuk dijual di pasaran web gelap, namun berpandangan punca data itu diperoleh perlu dikenal pasti menerusi siasatan teknikal.
Tanpa pengesahan lanjut, tidak wajar untuk menyimpulkan bahawa dakwaan kebocoran itu berpunca daripada pelayan Waze atau kewujudan akses belakang (backdoor).
Sehubungan itu, beliau menyokong usaha memperkukuh keselamatan data digital negara, termasuk pembangunan aplikasi navigasi tempatan yang mampu menyaingi platform sedia ada.
“Saya mengharapkan banyak produk tempatan yang mampu menyaingi Waze. Saya harap banyak produk tempatan dapat menyaingi ataupun melebihi keupayaan Waze dalam membantu kita dalam navigasi harian,” katanya.