MCMC gesa hentikan penyebaran video insiden sekolah di Kuching

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai termasuk pengamal media supaya menghentikan penyebaran rakaman video insiden melibatkan senjata berbahaya di sebuah sekolah di Kuching, Sarawak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman memaparkan unsur keganasan membabitkan kanak-kanak tidak wajar dimuat naik, dikongsi atau disebarkan.
  • Pendedahan identiti kanak-kanak boleh melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
  • Penyebaran kandungan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • Pihak berkuasa bekerjasama dengan platform media sosial; individu diminta segera memadam dan tidak menyebarkan semula bagi melindungi privasi dan siasatan.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, rakaman yang memaparkan unsur keganasan, khususnya membabitkan kanak-kanak, tidak wajar dimuat naik, dikongsi atau disebarkan kerana boleh menjejaskan privasi, maruah serta kesejahteraan emosi mangsa dan keluarga mereka.

“Pendedahan identiti kanak-kanak boleh melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

“Penyebaran kandungan berkenaan juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], sekiranya didapati melanggar peruntukan undang-undang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan penyedia platform media sosial bagi menangani penyebaran rakaman itu, termasuk mengambil langkah menurunkan kandungan berkaitan.

Sehubungan itu, individu yang telah memuat naik atau berkongsi rakaman berkenaan diminta segera memadamkannya.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan semula kandungan terbabit bagi melindungi privasi kanak-kanak selain mengelakkan gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.