
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Pembinaan jana kuasa nuklear pertama negara dicadangkan sebagai langkah menangani cabaran bekalan tenaga susulan ketidaktentuan global dalam sektor minyak dan gas.
- Ketidaktentuan global dan perkembangan di Selat Hormuz menjadikan sektor minyak dan gas cabaran utama kepada bekalan tenaga negara.
- Perlu keputusan berani kerajaan untuk langkah serius membangunkan jana kuasa nuklear pertama negara.
- Belanjawan 2027 tiada penjelasan menyeluruh mengenai jaminan tenaga, dan subsidi minyak yang meningkat membebankan kewangan negara.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkembangan di Selat Hormuz serta ketidaktentuan global menjadikan sektor minyak dan gas antara cabaran utama kepada ekonomi negara.
“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil langkah serius dan konsisten untuk membangunkan jana kuasa nuklear pertama negara. Ini memerlukan keputusan yang berani daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap ketiadaan penjelasan menyeluruh dalam Belanjawan 2027 mengenai langkah menjamin bekalan tenaga negara, termasuk menangani cabaran sektor minyak dan gas.
“Saya bimbang kita akan terus berdepan masalah sama apabila subsidi minyak semakin meningkat dan membebankan kewangan negara pada masa akan datang,” katanya.