STR, SARA perlu ikut keperluan isi rumah

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Jumlah bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) perlu dinilai secara berkala bagi memastikan kadar bantuan bersesuaian dengan keperluan sebenar isi rumah, termasuk saiz keluarga dan lokasi kediaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ahli Parlimen mencadangkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi lakukan penilaian berkala terhadap kecukupan STR dan SARA.
  • Penilaian perlu mengambil kira saiz isi rumah, lokasi kediaman dan keperluan asas bagi menentukan kadar bantuan bersesuaian.
  • Belanjawan 2027 meningkatkan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion berbanding tahun sebelumnya.
  • STR melibatkan sehingga sembilan juta penerima menerima RM150 sebulan, manakala SARA MADANI beri RM100 dua kali setahun.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah itu penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan dapat membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup dengan lebih berkesan.

Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bekerjasama menilai kecukupan bantuan berkenaan, selain memastikan pemberian bantuan disokong usaha meningkatkan pendapatan rakyat bagi memperkukuh kedudukan kewangan isi rumah dalam jangka panjang.

“Saya ingin mencadangkan agar Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bersama-sama melaksanakan penilaian berkala terhadap kecukupan bantuan STR dan SARA dengan mengambil kira saiz isi rumah, lokasi kediaman serta keperluan asas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menerusi Belanjawan 2027, Perdana Menteri mengumumkan peningkatan peruntukan bagi STR dan SARA kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion pada tahun sebelumnya.

Di bawah inisiatif STR, sehingga sembilan juta penerima layak menerima bantuan sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.

Selain itu, rakyat berusia 18 tahun ke atas turut menerima bantuan SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, masing-masing menjelang Aidilfitri dan sambutan Hari Kebangsaan.

Secara keseluruhan, bantuan berkenaan dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat, termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.