
KEMAMAN, 17 Jun — Kira-kira 700 penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Pergam, Kemaman hidup dalam kebimbangan susulan kehadiran sekumpulan gajah liar yang semakin kerap menghampiri kawasan penempatan mereka sejak kebelakangan ini.
- Gajah liar sering muncul, merosakkan tanaman kelapa sawit dan sebuah kandang lembu.
- Penduduk bimbang keselamatan keluarga dan kanak-kanak, melakukan rondaan malam dan mengelak keluar bersendirian ke kebun.
- Aduan dibuat kepada Perhilitan Kemaman dan pihak berkenaan kini memantau keadaan di kawasan tersebut.
Kumpulan haiwan liar itu dilaporkan sering muncul di Kampung Sungai Pergam Hulu dan Kampung Sungai Pergam Hilir, selain merosakkan tanaman kelapa sawit serta sebuah kandang lembu milik penduduk.
Menurut penduduk, ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku selepas lebih 30 tahun mereka hidup tenang tanpa gangguan gajah liar di kampung berkenaan.
Dalam kejadian dua hari lalu, sekumpulan gajah liar dilihat berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit sebelum merosakkan tanaman dan sebuah kandang lembu.
Penduduk Orang Asli, Rahim Mustafa, berkata mereka bimbang dengan keselamatan keluarga, terutama kanak-kanak, berikutan haiwan berkenaan sering berada berhampiran rumah.
“Risau juga, risau keselamatan. Budak-budak tengok sini, kita pun takut. Risau rumah, dia main dekat rumah, kita pun risau keselamatan kita, anak-anak lagi,” katanya kepada RTM.
Seorang lagi penduduk, Ismail Teri, berkata kehadiran gajah liar itu sukar dikesan kerana haiwan berkenaan muncul secara tiba-tiba berhampiran kediaman mereka.
“Memang takut, tapi dia tak ada bunyi. Tiba-tiba dekat rumah kita ada. Dia tak masuk rumah, dia main tepi-tepi, memang bimbang. Kesan dia kita takut dan risau,” katanya.

Susulan itu, penduduk terpaksa mengadakan rondaan dan kawalan pada waktu malam bagi memantau pergerakan gajah liar berkenaan serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Malah, sebahagian penduduk turut mengelak keluar bersendirian ke kebun kerana khuatir terserempak dengan kumpulan haiwan terbabit.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Sungai Pergam, Roslan Semail berkata aduan telah dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman dan pihak berkenaan kini sedang memantau keadaan di kawasan tersebut.