Operasi SAR hari kedua diteruskan, cari lelaki hilang di Sungai Kobat

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Kobat diteruskan untuk hari kedua / Foto RTM

KUANTAN, 17 Jun – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Kobat berhampiran Taman Impian, Jalan Sungai Lembing, di sini, diteruskan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa Muhammad Firdaus Zuharsema, 26, dilaporkan terjatuh ke sungai pada pukul 10.23 pagi semalam.
  • Operasi memasuki hari kedua bermula 7.15 pagi melibatkan pelbagai agensi penyelamat.
  • Pasukan termasuk lapan anggota BBP Indera Mahkota, dua dari BBP Taman Tas, enam PPDA Pekan dan enam PPDA Kuantan.
  • Operasi menggunakan bot aluminium, bot fiber, unit K9; pencarian tumpu hingga radius 300 meter dan operasi diteruskan.

Mangsa, Muhammad Firdaus Zuharsema, 26 tahun, dilaporkan terjatuh ke sungai berkenaan pada pukul 10.23 pagi semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, operasi SAR memasuki hari kedua bermula pada pukul 7.15 pagi tadi dengan melibatkan pelbagai agensi penyelamat.

Menurut beliau, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota serta dua anggota dari BBP Taman Tas ditugaskan dalam operasi berkenaan.

Turut terlibat ialah enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pekan dan enam anggota PPDA Kuantan yang menggunakan pelbagai aset termasuk jentera, bot aluminium dan bot fiber.

“Operasi turut dibantu tiga anggota Unit Pengesan K9 bersama anjing pengesan bagi membantu mengesan mangsa di kawasan pencarian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, operasi pencarian dijalankan menggunakan teknik pencarian di permukaan air dengan tumpuan diberikan di lokasi mangsa dipercayai terjatuh sehingga radius 300 meter dari lokasi kejadian.

Selain JBPM, operasi SAR turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Amal serta penduduk kampung yang membantu dalam usaha mengesan mangsa.

Setakat petang ini, mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR diteruskan mengikut prosedur ditetapkan dengan pemantauan keadaan cuaca serta arus sungai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.