Gaji minimum : Penyelesaian ‘menang-menang’ pekerja dan majikan

Kenaikan pendapatan pekerja dapat dilaksana tanpa memberi beban sama rata kepada semua majikan

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Perbezaan sektor, industri serta lokasi, antara faktor yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan kadar gaji minimum pada masa akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan menaikkan gaji minimum dari RM1,700 ke sekitar RM1,900 mengambil kira kos sara hidup dan keadaan pasaran buruh.
  • Pendekatan satu kadar bagi semua industri kurang sesuai; gaji minimum lebih bersasar menurut sektor akan tingkatkan penerimaan majikan.
  • Pelaksanaan beransur-ansur bermula sektor utama mampu capai penyelesaian menang-menang antara keperluan pekerja dan kemampuan majikan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ketika menyuarakan pandangan berkenaan, berkata langkah itu penting bagi memastikan kenaikan pendapatan pekerja dapat dilaksana tanpa memberi beban sama rata kepada semua majikan.

“Kadar semasa pada RM1,700 sebulan boleh dipertimbangkan untuk dinaikkan kepada sekitar RM1,900 iaitu mengambil kira perubahan kos sara hidup serta keadaan pasaran buruh.

“Saya juga berpendapat, pendekatan satu kadar bagi semua industri dan negeri kurang bersesuaian, memandangkan perbezaan struktur upah, tahap kemahiran pekerja serta kos operasi antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Kita mahu mencapai penyelesaian menang-menang dengan pihak pekerja meraikan dan menyambut baik gaji minimum ini, namun penerimaannya berbeza di peringkat majikan.

“Sekiranya pelaksanaan gaji minimum itu lebih bersasar mengikut industri, penerimaannya juga dilihat akan lebih baik,”katanya pada Forum Ekonomi Korporat 2026 anjuran Bank Muamalat.

Beliau turut menyatakan, pelaksanaan secara beransur-ansur boleh bermula berdasarkan sektor utama ekonomi termasuk pertanian, perlombongan, pembuatan dan perkhidmatan.

Pendekatan itu berupaya mewujudkan penyelesaian lebih seimbang antara keperluan pekerja untuk memperoleh pendapatan lebih baik dengan kemampuan majikan menanggung kos buruh.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.