
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Sokongan lebih menyeluruh perlu diberikan kepada wanita yang mahu kembali bekerja selepas meninggalkan kerjaya untuk memberi tumpuan kepada keluarga, kata Pengasas Pink Lady Agency, Emerilda Sani.
- Berikan peluang dan sokongan untuk wanita kembali bekerja supaya pengalaman serta kepakaran mereka dapat dimanfaatkan dalam pembangunan ekonomi.
- Sokongan mesti merangkumi bimbingan, pendidikan, latihan kemahiran dan akses kepada rangkaian perniagaan, bukan hanya bantuan kewangan.
- Atasi jurang kepercayaan diri dengan memberi ruang serta sokongan untuk mengembangkan kreativiti, idea dan peluang perniagaan.
- Pendidikan dan ketabahan penting; nasihatkan wanita muda supaya tidak berputus asa, berani mengambil risiko dan terus berusaha.
Beliau berkata, golongan itu mempunyai pengalaman dan kepakaran yang boleh disumbangkan semula kepada pembangunan ekonomi negara sekiranya diberikan peluang dan sokongan sewajarnya.
“Kerajaan perlu menyokong wanita yang ingin kembali bekerja, terutamanya mereka yang pernah bekerja tetapi berhenti untuk memberi tumpuan kepada keluarga. Apabila mendapat sokongan daripada kerajaan, mereka dapat berkongsi kembali kepakaran yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Berita, di sini.
Menurut Emerilda, antara cabaran utama wanita untuk mengembangkan potensi dan perniagaan ialah jurang kepercayaan terhadap keupayaan mereka.
Katanya, wanita memerlukan ruang dan sokongan untuk mengembangkan kreativiti dan idea, selain mendapat akses kepada peluang serta program yang dapat membantu perkembangan kerjaya dan perniagaan.
Beliau berkata, usaha memperkasa wanita juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada bantuan kewangan dan peluang pekerjaan, sebaliknya perlu merangkumi bimbingan, pendidikan, kemahiran serta akses kepada rangkaian perniagaan yang lebih luas.
Sementara itu, Miss World Malaysia 2026, Taanusiya Chetty berkata, pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk wanita muda yang berdikari serta mampu mengembangkan potensi diri.
“Walaupun saya suka fesyen, saya selalu menasihatkan bahawa pendidikan sangat penting kerana pada akhirnya kecantikan akan hilang, tetapi orang akan mengingati kerjaya. Pendidikan penting untuk kerjaya, terutamanya bagaimana kita mahu berkembang sebagai wanita berdikari,” katanya.
Taanusiya turut menggesa wanita muda supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan penolakan, sebaliknya berani mengambil risiko dan terus berusaha merealisasikan cita-cita.
Taanusiya pada September lalu mencipta pencapaian terbaik Malaysia apabila meraih tempat ketiga dalam pertandingan Miss World 2026 di Nha Trang, Vietnam, sekali gus menyamai pencapaian Lina Teoh pada 1998.