Piala Sultan Johor 2026 tampil saingan lima negara

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 8 Oktober – Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 kembali berlangsung dengan penyertaan lima negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanada, China, Jepun dan Pakistan mengesahkan penyertaan pada edisi ke-14.
  • Kejohanan jadi platform untuk skuad B-21 meneruskan momentum selepas pasukan senior raih pingat perak Sukan Asia, diharap bangkit menjuarai di laman sendiri.
  • Pusingan akhir berlangsung 17 hingga 24 Oktober di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, dengan Sukan RTM sebagai penyiar rasmi.

Turut mengesahkan penyertaan pada edisi ke-14 itu ialah Kanada, China, Jepun dan Pakistan.

Penganjuran kejohanan berkenaan dilihat menjadi platform terbaik buat skuad muda negara meneruskan momentum kecemerlangan pasukan senior yang meraih pingat perak pada temasya Sukan Asia baru-baru ini.

Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pencapaian pasukan senior itu diharap menjadi suntikan semangat kepada skuad bawah 21 tahun untuk memburu kejuaraan di laman sendiri.

“2011 adalah kemenangan tunggal untuk kita. Saya mengharapkan tahun ini menjadi kebangkitan, apatah lagi pada Sukan Asia baru-baru ini, hoki menjadi antara penyumbang pingat untuk Malaysia.

“Saya harap kejayaan itu menjadi suntikan semangat kepada skuad junior kita dan seterusnya memberikan kemenangan pada Piala Sultan Johor nanti,” katanya.

Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2026 dijadual berlangsung di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, dari 17 hingga 24 Oktober ini.

Sementara itu, RTM sekali lagi bertindak sebagai penyiar rasmi kejohanan menerusi saluran Sukan RTM.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Hairi memaklumkan acara Hari Sukan Negara peringkat negeri Johor yang dijadualkan Sabtu ini ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang masih belum pulih.

Katanya, penangguhan itu mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan orang awam, terutama membabitkan pelaksanaan pelbagai aktiviti luar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.