Sukan SEA 2027: MASOC perketat tatakelola, elak kepincangan berulang

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari pada Majlis Peluncuran Program Realiti Jaguh Rakan Muda Musim Ke-2./ RTM

PUTRAJAYA, 8 Oktober – Persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 kini berada pada landasan tepat, dengan aspek tatakelola dan pengurusan kewangan diberi perhatian bagi memastikan kepincangan penganjuran edisi 2017 tidak berulang.

RINGKASAN BERITA AI
  • MASOC mengadakan mesyuarat berkala untuk memastikan persiapan mengikut garis masa dan tatakelola yang ditetapkan.
  • Kejayaan bukan hanya diukur pingat, tetapi mutu penganjuran termasuk upacara pembukaan, perjalanan pertandingan dan upacara penutupan.
  • Penyelarasan berterusan bersama kluster negeri hos (Sarawak, Johor, Pulau Pinang, WP Kuala Lumpur) bagi memastikan logistik dan kemudahan lancar.

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) mengadakan mesyuarat secara berkala bagi memastikan setiap persiapan menjelang temasya itu dilaksanakan mengikut garis masa dan tatakelola yang ditetapkan.

Katanya, perkara itu semakin diperkemas susulan pelancaran detik 365 hari menuju Sukan SEA 2027 baru-baru ini.

“Kita berada dalam garis masa yang telah pun ditetapkan, MASOC bermesyuarat dari hari ke hari untuk memastikan sebarang proses dapat berjalan dengan baik dan lancar, memenuhi tatakelola yang betul, serta mengikut kos dan bajet yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media Majlis Peluncuran Program Realiti Jaguh Rakan Muda Musim Ke-2 di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan penganjuran Sukan SEA 2027 tidak hanya diukur berdasarkan kutipan pingat emas atau tahap kesiapsiagaan atlet.

Sebaliknya, aspek penganjuran secara keseluruhan turut menjadi keutamaan, termasuk kelancaran upacara pembukaan, perjalanan pertandingan serta upacara penutupan.

“Sukan SEA ini bukan hanya berkenaan berapa emas yang boleh kita peroleh atau sejauh mana kesiapan atlet kita. Itu memang sangat penting, namun ada yang tidak kalah pentingnya iaitu penganjuran secara keseluruhan,” katanya.

Bagi memastikan aspek logistik dan kemudahan berjalan lancar, MASOC turut mengadakan penyelarasan berterusan bersama empat kluster kerajaan negeri dan wilayah yang menjadi hos bersama, iaitu Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) turut melancarkan Program Realiti Jaguh Rakan Muda Musim Ke-2 berteraskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda MADANI.

Penganjuran kali ini tampil dengan skala lebih besar, menawarkan hadiah keseluruhan RM150,000 serta sembilan episod, selepas menerima penyertaan 1,042 peserta dalam sesi uji bakat.

Daripada jumlah itu, 100 belia terbaik dipilih untuk bersaing dalam program yang menguji potensi, bakat dan ketahanan golongan muda.

Program berkenaan akan bersiaran menerusi saluran RTM, iaitu TV Okey, TV2 dan Sukan RTM, bermula 10 Oktober hingga 12 November 2026.

Manakala episod akhir akan disiarkan secara langsung pada 15 November.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.