Hari Sukan Negara 2026 diteruskan, pelan kontingensi siap sedia hadapi jerebu

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari

PUTRAJAYA, 8 Oktober — Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 yang dijadualkan bermula esok hingga 11 Oktober akan diteruskan mengikut perancangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan kontingensi sedia diaktifkan jika jerebu dan bacaan IPU bertambah buruk.
  • KBS memantau kualiti udara melalui mesyuarat berkala bersama JBSN, NADMA, MSN dan agensi berkaitan serta EXCO negeri.
  • Kanak-kanak dan golongan berisiko tidak digalakkan menyertai aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu tidak mengizinkan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pelan kontingensi sedia diaktifkan sekiranya keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bertambah buruk.

“Setakat hari ini, kita masih lagi meneruskan Hari Sukan Negara, tetapi kita juga perlu melihat nasihat dan pandangan daripada jawatankuasa yang bermesyuarat setiap hari.

“Jika keadaan tidak mengizinkan, langkah-langkah kontingensi perlu diambil terutama bagi program luar bangunan seperti fun walk atau larian santai demi memastikan kesihatan masyarakat tidak terjejas,” katanya pada sidang media Majlis Peluncuran Program Realiti Jaguh Rakan Muda Musim Ke-2 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Katanya, kualiti udara negara dipantau menerusi mesyuarat berkala bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Sukan Negara (MSN) serta agensi berkaitan.

Mohammed Taufiq berkata, kanak-kanak dan golongan berisiko juga tidak digalakkan menyertai aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu tidak mengizinkan.

Katanya, KBS turut berhubung rapat dengan barisan EXCO kerajaan negeri, khususnya di wilayah selatan termasuk Johor yang merekodkan bacaan IPU agak tinggi ketika ini.

“Setakat ini, belum ada sebarang keputusan rasmi untuk menangguhkan program. Kami akan meneliti perkembangan cuaca bagi tempoh tiga hari ini sebelum membuat sebarang ketetapan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai penangguhan acara di lokaliti yang terjejas hanya akan dimuktamadkan selepas penilaian terperinci dibuat, dengan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan sama, Mohammed Taufiq berkata persiapan logistik dan teknikal bagi penganjuran HSN 2026 di seluruh negara kini hampir 100 peratus siap.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.