19 lokasi di Johor dikenal pasti Bengkel Pendidikan Pencipta Kandungan TikTok Shop

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berucap ketika menghadiri Bengkel Pendidikan Pencipta Kandungan TikTok Shop di Sekolah Menengah Kebangsaan Senai/BERNAMA

KULAI, 9 Mei -Sebanyak 19 lokasi di Johor telah dikenal pasti bagi pelaksanaan Bengkel Pendidikan Pencipta Kandungan TikTok Shop yang turut ditawarkan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program MCMC bersama TikTok Shop memperkasakan literasi digital dan etika penghasilan kandungan.
  • Inisiatif membantu peserta meningkatkan kemahiran digital, strategi perniagaan dalam talian dan potensi pendapatan.
  • Tegaskan pentingnya menjadi pencipta kandungan beretika, menggunakan telefon pintar dan AI, bukan hanya mengejar viral.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama TikTok Shop itu, merupakan usaha memperkasakan literasi digital dan etika penghasilan kandungan.

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan membantu peserta meningkatkan kemahiran digital, mempelajari strategi perniagaan dalam talian serta memperkukuh potensi pendapatan melalui platform TikTok Shop.

“Pada pandangan saya, ini merupakan satu tanda yang positif. Yang paling penting, kita mempunyai pelbagai alat seperti telefon pintar dan teknologi kecerdasan buatan (AI). Namun, kita perlu menjadi pencipta kandungan yang beretika.

“Itulah mesej dan pesanan kami kepada generasi muda, agar tidak terlalu mengejar kandungan yang viral semata-mata,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Bengkel tersebut di Dewan SMK Senai, Taman Damai , Kulai, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wong Bor Yang.