Pusat NADI Pulau Banggi diiktiraf antara terbaik dunia – PM

Perdana Menteri berkesempatan melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pulau Banggi hari ini. Foto PMO

KUDAT, 9 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengiktirafan antarabangsa diterima Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi sebagai bukti kejayaan transformasi digital negara hingga ke kawasan pedalaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan antarabangsa diterima menerusi World Summit on the Information Society anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Geneva.
  • Pusat NADI Pulau Banggi dipilih pemenang kategori pembangunan kapasiti digital, mengharumkan nama negara di peringkat dunia.
  • Perdana Menteri menyatakan beliau terkejut namun mengesahkan kejayaan NADI Pulau Banggi sebagai nombor satu dunia.
  • Beliau menggesa pemerkasaan dan peluasan kemudahan digital supaya setiap kampung di Pulau Banggi menikmati akses teknologi dan internet.

Beliau berkata pusat berkenaan diiktiraf menerusi World Summit on the Information Society anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang berpangkalan di Geneva, Switzerland.

Menurut beliau, Pusat NADI Pulau Banggi dipilih sebagai pemenang bagi kategori pembangunan kapasiti digital, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

“Saya terkejut apabila mendapat berita itu. NADI Pulau Banggi nombor satu dunia, memang sukar dipercayai, tetapi ia benar-benar berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau mahu kemudahan digital terus diperluaskan supaya setiap kampung di Pulau Banggi dapat menikmati akses teknologi dan internet secara menyeluruh.

Lawatan ke Pulau Banggi antara agenda dalam jadual padat lawatan dua hari Perdana Menteri ke Sabah.

Beliau dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berangkat pulang ke ibu negara, petang tadi.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu 2 (KKIA2) pada kira-kira 2.25 petang.

Keberangkatan pulang Perdana Menteri diiringi Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud.