
JOHOR BAHRU, 16 Jun – Seorang wanita warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana disyaki membunuh anak tirinya yang berusia empat tahun dalam kejadian di Taman Perling, di sini.
- Bedah siasat pada 3 Jun mendapati punca kematian akibat trauma tumpul di dada.
- Kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
- Ibu tiri didakwa dan ditahan; dua lelaki dibebaskan dengan bon untuk dijadikan saksi; tertuduh ditahan di Penjara Simpang Renggam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri oleh tertuduh di rumah pada 2 Jun lalu.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital, sebelum bedah siasat pada 3 Jun mendapati punca kematian adalah akibat trauma tumpul di dada.
Susulan keputusan bedah siasat itu, kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan tiga individu warga asing berusia 22 hingga 32 tahun terdiri daripada bapa kandung mangsa, bapa saudara dan ibu tiri mangsa di lokasi berasingan sekitar daerah ini pada 3 Jun.
Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing turut menunjukkan keputusan negatif.
Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut membawa kepada pertuduhan ke atas ibu tiri mangsa.
Tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan kini ditahan di Penjara Simpang Renggam, manakala dua lagi suspek lelaki dibebaskan dengan bon jaminan untuk dijadikan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 18 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau tindakan berunsur emosi yang boleh menjejaskan siasatan serta ketenteraman awam.