Ahli NGO Ikram berdepan 158 pertuduhan terima suapan bernilai lebih RM98 juta

Tertuduh, Fakhrudin Abd Karim bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan./ RTM

SHAH ALAM, 16 Jun – Seorang ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 158 pertuduhan berkaitan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM98.2 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
  • Didakwa menggunakan kedudukan dalam Pertubuhan Ikram Malaysia untuk mengarahkan pemindahan dana NGO ke akaun sekutu dan akaun peribadi.
  • Transaksi pemindahan didakwa berlaku di cawangan Hulu Selangor antara Januari 2021 dan Ogos 2025.
  • Jika sabit, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minima lima kali nilai suapan atau RM10,000.

Tertuduh, Fakhrudin Abd Karim bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ke-149, Fakhrudin, 57 tahun sebagai seorang pegawai badan awam iaitu ahli Pertubuhan Ikram Malaysia yang ditugaskan sebagai penandatangan yang diberi kuasa kepada akaun bank milik NGO itu telah menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM81 juta.

Tertuduh didakwa telah mengarahkan 149 transaksi dibuat bagi pemindahan dana milik NGO itu ke akaun bank sekutunya, Ehsan Care Solution yang diketahui mempunyai kepentingan dengannya.

Manakala, bagi pertuduhan ke 150 sehingga 158, tertuduh yang mempunyai jawatan sama ketika itu telah menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM16 juta.

Tertuduh didakwa telah mengarahkan transaksi pemindahan dana milik NGO itu ke akaun miliknya yang mana tertuduh mempunyai kepentingan terhadap akaun berkenaan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Hulu Selangor antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan berjumlah RM1 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan passport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam mewakili tertuduh iaitu Datuk N. Sivananthan memohon agar wang jaminan ditetapkan sebanyak 300 RIBU RINGGIT mengambil kira kedudukan akaun tertuduh dan keluarga yang kini telah dibekukan susulan kes berkenaan.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin warganegara dan semua syarat tambahan dipenuhi.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Ogos sebagai sebutan semula kes.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.