Penghuni PUSPEN Perlop lari, ditangkap semula

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesahkan empat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop, Perak yang melarikan diri pada Jumaat lalu berjaya ditangkap semula.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tangkapan dibuat di sekitar Sungai Siput hasil kerjasama PDRM dan penduduk kampung.
  • AADK nafi mesej tular bahawa penghuni berada di Bandar Baru Bangi dan berbahaya; mesej palsu.
  • Siasatan dalaman menyeluruh dijalankan; tindakan tatatertib dan undang-undang akan diambil jika wujud kecuaian.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan memaklumkan, kesemua individu terbabit ditangkap di sekitar daerah Sungai Siput hasil kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.

Susulan kejadian itu, beliau menafikan mesej tular yang mendakwa penghuni berkenaan berada di sekitar Bandar Baru Bangi dan dianggap berbahaya kepada orang ramai sehingga menimbulkan kegusaran penduduk setempat.

“Mesej tular tersebut adalah palsu berikutan kesemua penghuni hanya melarikan diri dan berada di sekitar daerah Sungai Siput sebelum ditangkap semula,” katanya menerusi kenyataan itu.

Menurut Datuk Ruslin, siasatan dalaman secara menyeluruh dijalankan serta-merta bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk meneliti sebarang unsur kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP).

Beliau menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib dan undang-undang sekiranya wujud kecuaian dalam kakitangan terlibat.

Orang ramai turut diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan undang-undang berkaitan.

Dalam pada itu, Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan berasingan turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial berhubung insiden kelarian banduan dari Penjara Sungai Udang, Melaka.

Jabatan itu menegaskan tiada sebarang kejadian seumpama itu berlaku dan maklumat yang disebarkan adalah tidak benar serta mengelirukan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk menerusi saluran rasmi jabatan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu demi memelihara ketenteraman awam dan imej institusi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.