
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran cecair vape mengandungi dadah sintetik dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM45.6 juta menerusi tiga operasi khas di sekitar Lembah Klang, sekali gus membongkar rangkaian yang dipercayai membekalkan vape dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara.
- Sindiket dipercayai membekalkan vape dadah kepada pelajar; tujuh pelajar terlibat, dua dirawat di hospital.
- Rampasan termasuk 742.74 kilogram methamphetamine, 962 katrij MDMA, 8 kg ketamin, 318 g pil ekstasi dan 21 g pil yaba.
- Lapan ditahan direman; polis menyita enam kenderaan, barang kemas dan wang tunai bernilai RM341,746; kes di bawah Akta Dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lebih membimbangkan, sindiket terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan pengedaran vape dadah kepada pelajar sekolah, susulan insiden tular membabitkan tujuh pelajar sebuah sekolah di Sentul, termasuk dua yang menerima rawatan kecemasan di hospital selepas dipercayai menghisap vape tersebut.
Katanya, menerusi Op Kesing, Op Madarini dan Op Eristalis yang dijalankan pada Khamis dan Sabtu lalu, lapan lelaki termasuk dua warga asing dan enam wanita warga asing berumur 20 hingga 55 tahun ditahan.
“Ancaman penyalahgunaan dadah vape yang disyaki mengandungi cecair dadah vape merupakan satu cabaran baharu dalam lanskap jenayah dadah negara.
Menyedari hakikat tersebut, JSJN telah dipergiatkan usaha penguatkuasaan dan risikan di seluruh negara bagi mengesan, membanteras serta menumpaskan sindiket yang terlibat dalam pengedaran dadah terlarang ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan beberapa rumah di sekitar Lembah Klang dan sebuah kilang memproses ikan sebagai lokasi penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
Beliau berkata, antara rampasan ialah 742.74 kilogram methamphetamine yang disimpan dalam 56 tong dan 36 botol, 962 katrij vape mengandungi cecair Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), lapan kilogram ketamin, 318 gram pil ekstasi dan 21 gram pil yaba.
“Ujian saringan air kencing mendapati dua lelaki yang ditahan positif methamphetamine dan amphetamine, manakala dua lagi mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek direman antara enam hingga tujuh hari bagi membantu siasatan, manakala polis turut menyita enam kenderaan, pelbagai barangan kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM341,746.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Hussein berkata, JSJN Bukit Aman bersama JSJN Kuala Lumpur dan Selangor turut melancarkan Op Waja dari 25 hingga 27 Julai lalu yang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran syabu didalangi seorang pegawai polis berstatus tahan kerja.
Katanya, operasi itu membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 39 hingga 46 tahun di sekitar Cheras dan Selangor serta rampasan 410 bungkusan dadah disyaki methamphetamine seberat 425.3 kilogram bernilai kira-kira RM21.3 juta.