Hampir separuh peserta program Pendigitalan Usahawan Desa golongan belia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Seramai 490 belia atau 48 peratus daripada 1,005 peserta menyertai Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan golongan muda luar bandar terhadap inisiatif pendigitalan keusahawanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan belia berumur 15 hingga 40 tahun menunjukkan pendekatan pendigitalan menarik minat golongan muda kekal di luar bandar dan menjana pendapatan digital.
  • KKDW memperuntukkan RM777,600 untuk Program MOFA dan Program Bangkit Desa bagi memperkukuh ekonomi luar bandar melalui latihan dan pementoran.
  • Agensi seperti MARA, KEMAS, RISDA dan FELCRA jalankan kursus pendigitalan, AI, pemasaran digital serta membimbing lebih 69,000 usahawan luar bandar.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata penyertaan belia berusia antara 15 hingga 40 tahun membuktikan pendekatan pendigitalan mampu menarik minat golongan muda untuk terus kekal di luar bandar, sekali gus menjana pendapatan menerusi ekonomi digital.

Tambahnya, kementerian turut memperuntukkan RM777,600 tahun ini bagi melaksanakan dua program utama, iaitu program pemasaran (marketing), operasi (operation), kewangan (financial) dan pentadbiran (administration) MOFA serta Program Bangkit Desa untuk memperkukuh ekonomi luar bandar.

“Program MOFA melibatkan peruntukan RM194,400 memanfaatkan 1,000 usahawan menerusi pendedahan kepada aplikasi digital dan kecerdasan buatan (AI), manakala Program Bangkit Desa menerima peruntukan RM583,200 bagi melatih 360 usahawan melalui latihan pengurusan serta bimbingan pementoran.

“Agensi di bawah KKDW seperti MARA turut menyediakan peruntukan RM6 juta menerusi Program Pendigitalan MARA (DIGITALBIZ dan BizNetwork), manakala KEMAS memperuntukkan RM230,000 bagi Program Pemasaran Digital yang memanfaatkan 440 usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Sheikh Umar Bagharib Ali di Dewan Negara, hari ini.

Tambah Datuk Rubiah agensi di bawah KKDW turut memperluas inisiatif pendigitalan menerusi pelbagai program latihan bagi meningkatkan keupayaan usahawan luar bandar mengadaptasi teknologi digital.

“RISDA telah melaksanakan 11 siri kursus pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) melibatkan 336 usahawan dengan peruntukan RM447,500, manakala FELCRA Berhad menyediakan RM110,000 bagi menganjurkan bengkel pendigitalan dan e-Invois yang memanfaatkan 160 usahawan,” katanya lagi.

Sehingga kini katanya, KKDW telah membimbing lebih 69,000 usahawan luar bandar menerusi pelbagai program pembangunan kapasiti dengan memberi tumpuan kepada peningkatan penggunaan teknologi digital, pengukuhan rangkaian pasaran serta peningkatan nilai jualan usahawan desa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.