
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Pasukan Thailand dianggap sebagai ujian sebenar untuk menilai kemampuan skuad Harimau Malaya sebelum mengharungi saingan yang lebih mencabar pada kempen Piala ASEAN 2026.
- Tan Cheng Hoe utamakan pendedahan pemain berbanding mengejar kemenangan untuk menilai kesiapsiagaan pasukan.
- Skuad berlepas ke Bangkok bagi perlawanan Kumpulan B di Stadium Rajamangala pada 1 Ogos.
- Rodney Celvin kata keserasian meningkat dan skuad bersedia memberikan aksi terbaik walaupun beraksi di gelanggang lawan.
- Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar dan 4-0 ke atas Laos; buru tiga mata penting.
Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, aksi menentang Thailand bukan sekadar memburu kemenangan, sebaliknya menjadi medan untuk mengukur kekuatan pasukan serta tahap kesiapsiagaan pemain dalam menghadapi tekanan.
“Perlawanan menentang Thailand merupakan ujian sebenar untuk menilai tahap kemampuan pasukan, sama ada kita mampu menyerap tekanan atau sebaliknya.
“Bagi saya sebagai jurulatih, fokus utama adalah memberikan pendedahan kepada pemain berbanding mengejar kemenangan kerana kita masih belum mengetahui tahap sebenar kekuatan pasukan kita,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Skuad Harimau Malaya berlepas ke Bangkok hari ini bagi menghadapi cabaran ketiga Kumpulan B, Piala ASEAN 2026 menentang Thailand di Stadium Rajamangala pada 1 Ogos ini.
Sementara itu, pemain pertahanan Harimau Malaya, Rodney Celvin berkata, skuad negara berada dalam keadaan bersedia untuk memberikan aksi terbaik walaupun berdepan cabaran beraksi di gelanggang lawan.
Menurutnya, tahap keserasian antara pemain semakin meningkat selepas mengharungi dua perlawanan awal kejohanan.
“Kami datang dengan sasaran memperoleh keputusan positif. Ia bukan tugas mudah, namun menjadi satu bonus sekiranya kami berjaya membawa pulang tiga mata penuh,” katanya.
Malaysia memburu tiga mata penting di Bangkok bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan B sekali gus meningkatkan peluang melangkah ke peringkat seterusnya.
Skuad negara membuka kempen Piala ASEAN 2026 dengan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar di Yangon sebelum mencatat kemenangan besar 4-0 menentang Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Thailand turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila membelasah Laos 5-0 di Vientiane dalam aksi pertama peringkat kumpulan.