
SEOUL, 30 Julai – Bekas Ketua Jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo mengambil tanggungjawab penuh selepas skuad negara itu gagal mara daripada peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2026.
- Hong hadir memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Sukan dan Kebudayaan Parlimen mengenai siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Korea.
- Hong dikritik hebat selepas kekalahan mengejut 0-1 kepada Afrika Selatan dan menggugurkan Son Heung-min ke bangku simpanan.
- Dakwaan layanan istimewa semasa pelantikan termasuk temu duga tidak telus di kediamannya ditanya; Hong menafikan pernah meminta keistimewaan.
- Hong disoal tentang dakwaan gaji 3.8 bilion won; beliau menafikan jumlah itu tetapi enggan mendedahkan angka sebenar.
Hong yang meletakkan jawatan selepas pasukannya tersingkir, hadir pada Khamis di hadapan Jawatankuasa Sukan dan Kebudayaan Parlimen Korea Selatan bagi memberi keterangan dalam siasatan terhadap tindakan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA).
Bekas pemain pertahanan Korea Selatan yang beraksi pada Piala Dunia 2002 itu menerima kritikan hebat daripada penyokong, penganalisis dan ahli politik selepas pasukannya tewas mengejut 0-1 kepada Afrika Selatan, sekali gus gagal melangkah ke pusingan kalah mati.
Kepulangannya ke negara itu turut disambut ejekan penyokong di lapangan terbang berikutan keputusan menggugurkan kapten berpengalaman, Son Heung-min ke bangku simpanan dalam perlawanan menentang Afrika Selatan, sedangkan Korea Selatan hanya memerlukan keputusan seri untuk layak.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung sebelum ini menyifatkan kegagalan itu berpunca daripada “individu tidak berkemampuan” yang diberikan jawatan kepimpinan, selain membayangkan isu kesetiaan dan kelompok tertentu dalam proses pemilihan pihak atasan bola sepak negara itu.
Dalam sesi pendengaran itu, Hong turut disoal mengenai dakwaan layanan istimewa ketika pelantikannya sebagai jurulatih pada 2024, termasuk dakwaan pegawai KFA menjalankan proses temu duga yang tidak telus di kawasan kediamannya.
“Saya percaya prosedur yang betul telah dipatuhi,” katanya sambil menafikan pernah meminta sebarang keistimewaan atau manfaat tertentu.
Ahli Parlimen turut membangkitkan dakwaan bahawa Hong menerima gaji sebanyak 3.8 bilion won (AS$2.6 juta), yang dilaporkan antara bayaran tertinggi bagi jurulatih kebangsaan.
Hong menafikan jumlah itu tepat namun enggan mendedahkan angka sebenar.
Beliau turut memohon maaf kerana gagal membawa Korea Selatan melepasi pusingan 32 terbaik dalam kejohanan yang melibatkan 48 pasukan di Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada.
“Saya adalah ketua jurulatih dan jawatan itu akhirnya dinilai berdasarkan keputusan.
“Oleh kerana prestasi kami pada Piala Dunia ini tidak mencapai sasaran, saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap segala-galanya,” katanya.
Media Korea Selatan sebelum ini menggelar skuad Piala Dunia 2026 sebagai “generasi emas”, dengan harapan tinggi terhadap pasukan yang dibarisi Son Heung-min, pertahanan Bayern Munich Kim Min-jae dan bekas pemain tengah Paris Saint-Germain, Lee Kang-in. – AFP