Nova Widianto akhiri khidmat bersama BAM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto akan menamatkan khidmatnya bersama skuad kebangsaan pada penghujung Julai selepas mengambil keputusan pulang ke Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nova menyertai BAM pada Januari 2023 dan memperkukuh program beregu campuran negara.
  • Kejayaan terbesar: Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menjadi juara dunia 2025, pasangan beregu campuran Malaysia pertama meraih gelaran itu.
  • Presiden BAM memuji sumbangan Nova yang memberi impak besar kepada pembangunan beregu campuran negara.
  • Nova mengucapkan terima kasih kepada BAM, menghargai sokongan dan mendoakan BAM terus berjaya pada masa depan.

Nova, yang menyertai BAM pada Januari 2023, memainkan peranan penting dalam memperkukuh program beregu campuran negara dengan kejayaan terbesar hadir apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia pada Kejohanan Badminton Dunia 2025, sekali gus menjadi pasangan beregu campuran pertama negara meraih gelaran itu.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sumbangan Nova memberi impak besar terhadap pembangunan beregu campuran negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Coach Nova berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesionalisme. Sumbangannya kepada pembangunan program beregu campuran negara amat besar.

“Kejayaan Tang Jie dan Ee Wei muncul juara dunia adalah detik membanggakan buat badminton Malaysia dan menjadi pencapaian penting sepanjang tempoh beliau bersama BAM.

“Bagi pihak BAM, saya mengucapkan terima kasih atas segala jasa Coach Nova dan mendoakan beliau serta keluarga terus berjaya dalam fasa baharu kehidupan mereka di Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Nova turut merakamkan penghargaan kepada BAM kerana memberi peluang menjadi sebahagian daripada keluarga badminton Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas peluang menjadi sebahagian daripada keluarga badminton Malaysia. Saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan sokongan sepanjang berada di sini.

“Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan sepanjang berada di Malaysia dan mendoakan BAM terus mencipta kejayaan pada masa depan,” katanya.

BAM turut merakamkan penghargaan atas segala jasa Nova sepanjang mengendalikan skuad beregu campuran negara serta mendoakan kejayaan beliau dalam kerjaya selepas ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.