Ini kos sebenar ‘berjaga malam’ tonton Piala Dunia

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kurang tidur tingkatkan selera melalui penurunan leptin dan peningkatan ghrelin, mendorong makan berlebihan serta menyumbang kepada obesiti.
  • Hilang tidur walau satu malam merosakkan tumpuan, masa tindak balas, keputusan dan mood, serta meningkatkan risiko kemalangan.
  • Kurang tidur kronik boleh menaikkan tekanan darah, mencetus keradangan dan ganggu metabolisme glukosa, meningkatkan risiko kardiovaskular.
  • Tidak boleh ditebus; amalkan waktu tidur konsisten, tidur sekejap 20 hingga 30 minit, kurang kafein, kekal waktu bangun, dan dapatkan penilaian jika berterusan.

Selama 39 hari, rakyat Malaysia seolah-olah hidup dengan tidur yang ‘dipinjam’. Dari aksi final Argentina menentang Sepanyol yang bermula pada pukul 3.00 pagi hinggalah lebih separuh daripada perlawanan peringkat kumpulan yang berlangsung antara tengah malam hingga 5.00 pagi.

Para peminat bola sepak sanggup berjaga demi menyaksikan setiap detik yang dinanti. Sepanjang tempoh itu, dapat disaksikan gerai-gerai mamak di seluruh negara penuh sesak, tatkala menjelang perlawanan bermula.

Tidak kira siapa yang akhirnya mengangkat piala, kebanyakan daripada kita tetap berjaga untuk menyaksikannya. Itulah yang menjadikan Piala Dunia begitu istimewa. Namun, secara senyap-senyap, ia sebenarnya mewujudkan satu masalah.

Antara yang kerap berlaku, keesokan paginya permohonan cuti kecemasan sehari, cenderung meningkat sekali gus menjadi punca urusan pejabat berjalan sedikit perlahan.

Ini menambah isu sedia ada kerana Malaysia antara negara yang mencatatkan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara. Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, seramai 54.4% orang dewasa mengalami berat badan berlebihan atau obes dan 21.8% obes secara klinikal.

Berminggu-minggu tidur yang terganggu, walau seronok sekali pun tidak membantu pengurangan angka tersebut kerana apabila satu malam tanpa tidur yang cukup boleh meningkatkan selera makan secara senyap-senyap.

Leptin, hormon yang memberi isyarat kenyang menurun, manakala ghrelin, hormon lapar meningkat. Itulah puncanya mengapa peminat bola sepak kebiasaannya ‘lari ke mamak’, seolah-olah selepas perlawanan nafsu makan terasa seperti satu keperluan, bukan lagi pilihan.

Berjaga lewat malam untuk menonton perlawanan Piala Dunia mungkin kelihatan tidak berbahaya. Namun kehilangan tidur walaupun semalam sahaja sudah membawa kesan yang boleh diukur.

Antaranya gangguan tumpuan, masa tindak balas, membuat keputusan dan mood, selain rasa mengantuk pada waktu siang sekali gus meningkatkan risiko kemalangan yang lebih tinggi.

Penulis suka berkongsi kenyataan Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia (SDSM) yang juga Naib Presiden College of Physicians Malaysia, Prof Dr Ahmad Izuanuddin Ismail, bahawa kurang tidur boleh meningkatkan tekanan darah, mencetuskan keradangan dan menjejaskan metabolisme glukosa.

Selain itu kurang tidur juga menjadi punca peningkatan sementara risiko kardiovaskular, terutamanya bagi mereka yang mengalami obesiti, apnea tidur obstruktif, hipertensi, diabetes atau penyakit kardiovaskular.

Ini jelas menunjukkan bahawa keseronokan menonton bola sepak pada waktu malam atau awal pagi, meskipun hanya semalam, kesan kehilangan tidur boleh berlarutan jauh lebih lama.

Perkara ini turut ditekankan dalam satu persidangan iaitu Sleep 2026 x Malaysian Multidisciplinary Sleep Conference (MMSC), yang menghimpunkan pakar perubatan tidur dari pelbagai negara.

Antaranya, Presiden Persatuan Tidur Thailand, Prof. Naricha Chirakalwasan, mengingatkan bahawa ramai masih mempunyai tanggapan salah bahawa kekurangan tidur boleh ‘diganti’ dengan hanya tidur lebih lama pada hari berikutnya, sedangkan kesannya terhadap tubuh tidak semudah itu.

Menurutnya, kita tidak boleh menebus satu malam tanpa tidur atau berjaga malam dengan bangun lewat pada keesokan hari. Ia kerana untuk memulihkan keseimbangan hormon dan irama sirkadian yang normal selepas kehilangan tidur boleh mengambil masa beberapa minggu tidur yang cukup dan konsisten.

Justeru keteraturan lebih penting berbanding cuba ‘mengejar’ tidur yang tertinggal. Tidur yang tidak teratur itu sendiri dikaitkan dengan kesan kesihatan metabolik, kardiovaskular dan mental yang lebih buruk.

Daripada kedua-dua pandangan ini, mesejnya cukup jelas bahawa tidur lewat pagi tidak dapat menebus satu malam yang hilang, dan jika ini menjadi kebiasaan sepanjang turnamen enam minggu, kesannya bertambah.

Ini juga bukan ujian terakhir tahun ini. Premier League akan bermula hanya 33 hari selepas perlawanan akhir ini, dengan La Liga menyusul tidak lama kemudian, dan rakyat Malaysia pasti akan menemui sebab baharu untuk berjaga lewat malam jauh sebelum Piala Dunia kembali pada 2030.

Justeru, sekarang adalah masa yang sesuai untuk membina tabiat tidur yang baik dan betul, bukan sekadar membaikinya selepas setiap perlawanan besar. Berikut adalah beberapa tip yang benar-benar membantu:-

  • Tidur sekejap selama 20 hingga 30 minit pada petang keesokan harinya, bukannya tidur hingga pukul 2 petang. Tidur sekejap yang ringkas dapat memulihkan sedikit kesegaran tanpa melewatkan tempoh biologi badan seperti mana tidur lewat pagi yang panjang.
  • Kurangkan kunjungan ke mamak dan pengambilan kafein sebaik sahaja perlawanan tamat, bukan hanya sebelum ia bermula.
  • Kembali kepada waktu tidur biasa pada malam berikutnya, dan elakkan membiarkan satu malam yang lewat berlarutan menjadi seminggu penuh malam-malam lewat.
  • Kekalkan waktu bangun yang tetap walaupun jadual terganggu. Ini membantu jam biologi badan pulih lebih cepat berbanding waktu tidur yang tetap.

Sekiranya keletihan berterusan dalam tempoh lama selepas minggu perlawanan tamat, atau anda berdengkur, bangun tanpa rasa segar, atau sentiasa teringin makan tanpa sebab, adalah lebih baik untuk mendapatkan penilaian tidur yang sewajarnya berbanding menyalahkan bola sepak semata-mata.

Bola sepak akan terus meminta rakyat Malaysia menukar tempoh atau masa tidur mereka dengan beberapa jam keseronokan. Yang paling kita mampu buat ialah memastikan hutang tidur itu dijelaskan dengan sewajarnya, bukan dibiarkan tertangguh sehingga tiba perlawanan akhir seterusnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Julius Goh Liang Chye
Perunding Otorinolaringologi
Pakar Bedah Kepala & Leher serta Tidur
Pusat Perubatan Universiti Malaya
Ahli Jawatankuasa Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.