
TELUK INTAN, 30 Julai – Seorang lelaki yang juga pekerja swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan termasuk dua pertuduhan membunuh dua pelajar perempuan dalam kemalangan maut di Jalan Padang Tembak pada Ahad lalu.
- Didakwa dua pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; tiada pengakuan direkodkan.
- Didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak tujuh tahun (Seksyen 44(1A)(a)).
- Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin bagi pertuduhan membunuh; sebutan semula kes ditetapkan 11 September.
Tertuduh, R. Alex, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Tiada pengakuan direkodkan bagi kesalahan membunuh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut dua pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia, Jalan Padang Tembak, Teluk Intan kira-kira pukul 6.35 petang pada 26 Julai lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga gagal mengawal kenderaan dengan sewajarnya dan menyebabkan kecederaan kepada Adam Arjuna Abdullah, tujuh tahun.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memandu secara tidak cermat dan tidak memberi perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan A. Suresh, 50 tahun.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, Izzuddin Fakri Hamdan dan Nur Darwis Aghniya Halim Azizi, manakala tertuduh diwakili peguam Koh Shean Wai.
Mahkamah tidak menawarkan ikat jamin bagi pertuduhan membunuh dan menetapkan 11 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada 26 Julai lalu, dua pelajar perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami kecederaan parah.