
JOHOR, 30 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menafikan video tular di media sosial berkaitan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pantai Barat Johor, bulan ini.
- Hasil siasatan mendapati tiada bukti kukuh mengesahkan modus operandi dipaparkan dalam video.
- Kandungan video mungkin digunakan sebagai taktik penipuan untuk memperdaya individu mencari khidmat penyeludupan PATI.
- Sindiket kerap mengubah modus operandi: bot fiber kecil menyerupai bot nelayan, tukar lokasi pendaratan dan masa operasi.
- Maritim perhebat rondaan, tingkat risikan dan kerjasama strategik; 13 cubaan penyeludupan membawa kepada 44 PATI ditahan.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, pihaknya telah menjalankan semakan dan penilaian terhadap kandungan berkenaan sekali gus, memandang serius terhadap perkara itu.
“Hasil risikan dan siasatan terhadap kes terdahulu mendapati, tiada bukti kukuh yang mengesahkan modus operandi yang dipaparkan dalam video berkenaan,” katanya.
Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kandungan sedemikian digunakan sebagai taktik penipuan pihak tertentu bagi memperdaya individu yang ingin mendapatkan khidmat membawa masuk atau keluar PATI.
Jelasnya, sindiket penyeludupan migran sentiasa mengubah modus operandi bagi mengelak pengesanan termasuk menggunakan bot fiber berenjin kecil yang menyerupai bot nelayan tempatan, menukar lokasi pendaratan dan memilih waktu operasi sukar dikesan.
“Maritim Malaysia Negeri akan terus memperhebat rondaan, memperkukuh keupayaan risikan dan meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan sebarang cubaan menceroboh perairan negara dapat ditangani,” tegasnya.
Sebanyak 13 cubaan penyeludupan migran melalui laluan laut dengan 44 PATI berjaya ditahan, sepanjang tempoh 2024 hingga bulan ini.
Daripada jumlah itu, enam kes direkodkan pada tahun 2024, empat kes pada tahun 2025 dan tiga kes bagi tahun ini.