
PUTRAJAYA, 1 Oktober – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan berhubung video tular di media sosial semalam.
- Siasatan dijalankan untuk kenal pasti sumber dan motif penyebaran rakaman CCTV yang bukan daripada sumber asal.
- Rakaman tular diambil semula menggunakan peranti lain; dua individu tidak dikenali merakam dan diarahkan memadam klip.
- AKPS membuat laporan polis, memaklumkan kerajaan, memberi kerjasama penuh dan akan tingkatkan keselamatan susulan aduan penyeludupan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan tersebut penting bagi mengenal pasti perkara sebenar termasuk motif di sebalik penyebaran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Klip yang tular itu, ia bukan datang daripada sumber asli. Ia diambil daripada satu lagi peranti ataupun telefon bimbit untuk ditularkan. Kalau boleh kata lain, siapakah mereka? Apakah tujuan mereka?,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung isu video tular yang menunjukkan beliau memarahi seorang individu di Terminal 1 KLIA.
Menurut Datuk Seri Mohd Shuhaily, pemeriksaan terhadap warga asing dalam rakaman tular itu hanya dilakukan pasukan operasi AKPS bersama Aviation Security (AVSEC) KLIA.
Beliau berkata, bagaimanapun proses itu tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain.
Katanya, ketika soal selidik dibuat, muncul dua individu tidak dikenali merakam perbuatannya, bagaimanapun arahan telah diberikan kepada mereka supaya memadamkan rakaman itu.
“Selepas itu, laporan polis dibuat ke atas saya pada 29 September manakala laporan kedua, dua hari selepas kejadian yang kemudiannya disusuli dengan tular klip video rakaman di media sosial.
“Itu yang menyebabkan AKPS terpaksa membuat satu laporan polis untuk mengatakan ada usaha mungkin untuk mencemar nama atau imej AKPS secara amnya dan saya khususnya,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohd Shuhaily turut menyerahkan kepada pihak kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular melibatkan dirinya.
Katanya, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu itu.
Beliau turut menegaskan AKPS menghormati siasatan dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, selain orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak disahkan sehingga siasatan selesai.
Tambah beliau, AKPS akan terus meningkatkan tahap keselamatan di pintu masuk negara susulan aduan dan dakwaan orang ramai mengenai berlakunya peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang dan kontraban hampir setiap hari di KLIA.