
- Lapan lokasi terlibat: lima Persinggahan Patuh, dua Pasar Patuh dan satu Zon Tumpuan Pelancongan Patuh.
- Lokasi utama: R&R Jejantas Ayer Keroh, R&R Ayer Keroh Utara/Selatan, Hentian Kampung Bemban, Pasar Masjid Tanah, Pasar Bukit Beruang, Taman Buaya.
- Program sebagai pendekatan advokasi dan kerjasama bersepadu untuk tingkatkan pematuhan peniaga.
- Program mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Ketua Menteri, Pejabat Tanah dan Galian serta SSM.
AYER KEROH, 1 Oktober -Program Patuh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka akan diperluas ke lebih banyak kawasan yang menjadi tumpuan orang awam.
Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata setakat ini, sebanyak lapan lokasi terlibat dalam Program Patuh KPDN Melaka.
Ia merangkumi lima kawasan Persinggahan Patuh, dua Pasar Patuh dan satu Zon Tumpuan Pelancongan Patuh.
Lokasi tersebut ialah di R&R Jejantas Ayer Keroh, R&R Ayer Keroh Arah Utara, R&R Ayer Keroh Arah Selatan, Hentian Sebelah Kampung Bemban Utara dan Hentian Sebelah Kampung Bemban Selatan.
Selain di Pasar Masjid Tanah, Pasar Wilayah Bukit Beruang serta Taman Buaya & Rekreasi Ayer Keroh.
“Selain itu, program ini turut menjadi pendekatan advokasi dan kerjasama bersepadu bagi meningkatkan tahap pematuhan peniaga terhadap perundangan di bawah seliaan KPDN, di samping mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, adil, beretika dan mesra pengguna,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Patuh (3P) di Taman Buaya & Rekreasi Ayer Keroh.
Dr Mohd Hazimin berkata, program itu mendapat kerjasama dengan beberapa pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) , Jabatan Ketua Menteri Melaka, Pejabat Tanah dan Galian Melaka serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).