
KUANTAN, 1 Oktober -Seorang wanita mengalami kerugian puluhan ribu ringgit selepas rumahnya yang disewakan sejak April lalu di Cherating, Kuantan, dipercayai dijadikan lokasi kegiatan perlombongan Bitcoin secara haram.
- Pemilik berdepan kompaun daripada TNB kerana bil elektrik masih berdaftar atas namanya.
- Rumah didapati mengalami kecurian elektrik dari tiang TNB serta kerosakan teruk pada siling dinding dan bilik air.
- Mangsa hanya mengetahui kejadian selepas jiran memaklumkan operasi serbuan polis bersama TNB.
- Nasihat kepada pemilik supaya berhati hati memilih penyewa dan pertimbangkan pertukaran nama akaun TNB untuk elak masalah sama.
Selain berdepan kompaun daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah puluhan ribu ringgit, wanita berusia 35 tahun itu turut menanggung kerugian kerosakan pada rumah berkenaan.
Mangsa yang dikenali Rabiatul Adawiyah berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan jiran mengenai operasi serbuan polis bersama TNB di rumah berkenaan Ahad lalu.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati berlaku kecurian elektrik daripada tiang TNB, selain rumah berkenaan mengalami kerosakan yang teruk termasuk pada bahagian siling, dinding dan bilik air.
“Saya sudah pergi ke pejabat TNB untuk mendapatkan penjelasan berhubung saman tersebut. Mereka memaklumkan bahawa kompaun tetap akan dikenakan terhadap pemilik akaun kerana bil elektrik masih berdaftar atas nama saya.
“Menurut pihak TNB, apa jua tindakan yang diambil, kompaun tetap akan dikenakan. Malah, jumlah kompaun itu mungkin mencecah puluhan ribu ringgit juga,” katanya di sini.
Keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan selepas diserang strok pada Mei lalu menyebabkan beliau tidak dapat memantau keadaan rumah berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik rumah supaya lebih berhati-hati ketika memilih penyewa serta mempertimbangkan pertukaran nama akaun TNB bagi mengelakkan berdepan masalah sama.
“Saya menyewakan rumah ini seperti biasa kerana saya merupakan pemilik pertama dan ini juga kali pertama rumah tersebut disewakan. Sebelum ini, saya tidak pernah menyewakannya kepada sesiapa.
“Jadi, saya tidak mengesyaki apa-apa kerana bil elektrik masih boleh disemak melalui sistem dan jumlahnya seperti biasa, sekitar RM30 sebulan. Saya juga mendapat tahu bahawa penyewa tersebut tidak tinggal di sini kerana bekerja di luar pesisir (offshore),” katanya lagi.
Rumah itu sebelum ini disewakan pada kadar RM850 sebulan dengan deposit dua bulan, namun jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung kerugian akibat kerosakan rumah dan kemungkinan kompaun TNB.