
KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Seramai 18 kru warga asing ditahan di perairan Sabak Bernam awal pagi tadi kerana disyaki bekerja di atas bot nelayan tempatan tanpa kebenaran.
- Bot ditahan Maritim kira-kira 9.4 batu nautika barat daya Tanjung Sauh pada 2.50 pagi semasa masuk Pangkalan Sungai Besar.
- Tekong warga tempatan berusia 50 tahun mengendalikan vesel bersama 19 awak-awak termasuk seorang tempatan berusia 52 tahun.
- 13 kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, manakala lima mempunyai dokumen sah; semua tiada permit kerja atau kebenaran DG Perikanan.
- Bot, tekong dan kru dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah dan diserahkan kepada Maritim Selangor; disiasat di bawah Akta Perikanan dan Imigresen.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot berkenaan ditahan Kapal Maritim Malaysia kira-kira 9.4 batu nautika barat daya Tanjung Sauh, Sabak Bernam, pada 2.50 pagi ketika dalam perjalanan masuk ke Pangkalan Sungai Besar.
Pemeriksaan mendapati bot jenis Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C itu dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 50 tahun bersama 19 awak-awak.
Abdul Muhaimin berkata seorang daripada awak-awak merupakan warga tempatan berusia 52 tahun, manakala 18 lagi warga asing terdiri daripada seorang warga Thailand, tiga warga Indonesia dan 14 warga Myanmar berusia antara 20 hingga 48 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati 13 kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala lima lagi mempunyai dokumen pengenalan diri atau pasport yang sah.
“Kesemua kru warga asing gagal mengemukakan permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penahanan itu dibuat ketika Maritim Malaysia melaksanakan operasi bersepadu bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor menerusi Op MARDOF Siri 3 Bil. 2/2026, Op EHSAN, Op TIRIS dan Op KHAS TANJUNG.
Bot bersama tekong dan semua kru kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lesen, selain Akta Imigresen 1959/63 berhubung kegagalan kru warga asing mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.