UiTM Holdings: SPRM kesan kepincangan tatakelola

Beberapa cadangan penambahbaikan bakal disyor bertujuan memperkemas proses yang dikenal pasti mempunyai kelompongan

PUTRAJAYA, 1 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kepincangan dalam aspek tatakelola susulan siasatan terhadap pengurusan UiTM Holdings Sdn Bhd.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM akan mencadangkan penambahbaikan untuk memperkemas proses yang dikenal pasti mempunyai kelompongan.
  • Penelitian aspek tatakelola adalah sebahagian daripada penyiasatan; syor bertujuan penambahbaikan, bukan pertuduhan mahkamah.
  • SPRM enggan mengulas terperinci mengenai bentuk atau jumlah kepincangan kerana siasatan masih dijalankan.
  • Siasatan kini menjejaki seorang suspek; boleh diperluas jika bukti baharu, termasuk dakwaan penyelewengan pelaburan dan projek solar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan beberapa cadangan penambahbaikan bakal disyorkan bertujuan memperkemas proses yang dikenal pasti mempunyai kelompongan.

“Penelitian terhadap tatakelola itu merupakan sebahagian daripada aspek penyiasatan SPRM.

“Walaupun tatakelola itu tidak merupakan satu pertuduhan di mahkamah, tetapi syor berkenaan adalah satu penambahbaikan,”katanya dalam sidang media Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-59 di Putrajaya.

Tambahnya, cadangan itu sebahagian tindakan SPRM sekiranya wujud kepincangan dalam aspek tatakelola sepanjang siasatan dijalankan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci mengenai bentuk atau jumlah kepincangan yang dikesan kerana ia masih dalam siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Abd Halim turut memaklumkan, siasatan kes UiTM Holdings setakat ini hanya menjurus terhadap seorang suspek yang didakwa di mahkamah pagi tadi, namun jika terdapat bahan bukti baharu maka siasatan akan diteruskan terhadap pihak lain.

UiTM Holdings sebelum ini dilaporkan mencatat kerugian sebelum cukai terkumpul kira-kira RM157 juta bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Siasatan SPRM turut meliputi dakwaan penyelewengan berkaitan beberapa pelaburan dan dana syarikat, termasuk projek solar 50 megawatt di Gambang, Pahang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.