43 warga asing ditahan dalam operasi JIM di Langkawi

Foto Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah

LANGKAWI, 1 Oktober – Taktik menggunakan dokumen disyaki palsu terbongkar apabila dua pemegang Kad UNHCR dan dua pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikesan dalam operasi yang dijalankan oleh penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah di Pulau Langkawi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 43 warga asing ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963 untuk tindakan lanjut.
  • Operasi dua hari di pelbagai kawasan tumpuan Langkawi termasuk Pantai Cenang, Padang Matsirat, Kedawang dan Kuah.
  • Pemeriksaan 17 premis melibatkan 95 individu; penguatkuasaan berterusan terhadap majikan atau pihak yang membantu warga asing yang melanggar undang-undang.

Operasi selama dua hari yang dijalankan di beberapa kawasan tumpuan iaitu Jalan Pantai Cenang, Taman Indah Fasa 3, Padang Matsirat, Kedawang, Pantai Cenang dan Kuah.

JIM Negeri Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 43 warga asing berumur antara 18 hingga 56 tahun ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 untuk tindakan lanjut.

Daripada jumlah itu seramai 11 orang merupakan warganegara Myanmar, 2 orang warganegara Pakistan, 17 orang warganegara Bangladesh, seorang warganegara India, 11 orang warganegara Indonesia, dan seorang warganegara Mesir.

Operasi melibatkan pelbagai kategori premis termasuk premis perniagaan runcit, resort, kedai hardware, tapak pembinaan, restoran dan bistro serta kedai gunting rambut. Sebanyak 17 premis telah diperiksa melibatkan 95 individu.

Operasi yang dilaksanakan oleh Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan, JIM Negeri Kedah dengan kekuatan seramai 21 pegawai itu melibatkan Op Selera, Op Dandan, Op Sapu, Op Kutip dan Op Belanja pada 28 dan 29 September 2026.

JIM Kedah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan dan bersasar di seluruh negeri, termasuk di kawasan tumpuan pelancongan seperti Langkawi.

Penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada warga asing, malah turut memberi perhatian terhadap pihak yang menggaji, melindungi, menempatkan atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang Imigresen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.