Malaysia-Singapura perkukuh kerjasama rantaian bekalan, ekonomi halal

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Malaysia dan Singapura bersetuju memperkukuh kerjasama dalam daya tahan rantaian bekalan, ekonomi halal, ekonomi digital dan ekonomi hijau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persetujuan Terma Rujukan Kumpulan Kerja Rantaian Bekalan untuk kongsi maklumat, perancangan bersama dan penyelarasan semasa gangguan rantaian bekalan.
  • Meneroka peluang ekonomi halal dalam pemprosesan makanan, ramuan halal, protein alternatif, kosmetik dan logistik rantaian sejuk.
  • Kemajuan ekonomi digital termasuk hubungan pembayaran rentas sempadan DuitNow-NETS QR, pemindahan masa nyata PayNow-DuitNow dan kerjasama e-Invois.
  • Kerjasama ekonomi hijau merangkumi Artikel 6 dan langkah tangkapan serta penyimpanan karbon rentas sempadan, selain platform JS-SEZ dan DEFA.

Perkara itu dipersetujui pada Dialog Menteri Tahunan Ketiga (3rd AMD) antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia dan Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura (METI) ,di sini hari ini.

Dialog dipengerusikan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura ,Gan Kim Yong.

Menurut kenyataan bersama, kedua-dua menteri mengesahkan Terma Rujukan Kumpulan Kerja Kerjasama Rantaian Bekalan Malaysia-Singapura (SCWG) bagi memperkukuh perkongsian maklumat, perancangan bersama dan penyelarasan ketika berlaku gangguan rantaian bekalan.

Dalam kerjasama ekonomi halal, kedua-dua negara bersetuju meneroka peluang dalam sektor pemprosesan makanan, ramuan halal, protein alternatif, kosmetik dan logistik rantaian sejuk.

Singapura merupakan destinasi eksport halal kedua terbesar Malaysia dengan nilai eksport RM7.1 bilion pada 2025.

Dalam ekonomi digital, antara pencapaian kerjasama dua hala ialah hubungan pembayaran rentas sempadan DuitNow-NETS QR dan pemindahan akaun masa nyata PayNow-DuitNow, selain kerjasama teknikal e-Invois rentas sempadan.

Kerjasama ekonomi hijau pula merangkumi kerjasama Artikel 6 serta penangkapan dan penyimpanan karbon rentas sempadan.

Kedua-dua negara akan meneruskan kerjasama melalui platform termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Jumlah perdagangan Malaysia-Singapura mencapai rekod AS$94.07 bilion pada 2025, meningkat 8.5 peratus berbanding 2024.

Kedua-dua menteri turut mengadakan perbincangan dengan komuniti perniagaan bagi mengenal pasti langkah praktikal untuk memperkukuh operasi rentas sempadan, termasuk di JS-SEZ.

Malaysia dan Singapura turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta meningkatkan daya tahan dan daya saing kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.