
MADRID, 4 Oktober – Puluhan ribu rakyat Sepanyol mengadakan demonstrasi di Madrid dan beberapa bandar lain pada Sabtu bagi menuntut perumahan mampu milik, sehari selepas Parlimen menolak langkah bantuan untuk penyewa yang dicadangkan kerajaan.
- Pengusiran seorang pesara 87 tahun mencetuskan kemarahan, memacu bantahan dan kemah di pusat bandar menuntut pembaharuan perumahan.
- Parlimen menolak cadangan perlindungan penyewa, setelah Junts, Parti Popular dan Vox mengundi menentang langkah kerajaan gabungan kiri.
- Harga sewa hampir dua kali ganda sedekad lalu manakala harga permintaan rumah naik kira-kira 90 peratus, menurut Idealista.
Di Madrid, pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 70,000 orang menyertai perarakan, manakala penganjur mendakwa jumlahnya mencecah 500,000 orang. Ratusan lagi peserta terus berkhemah di kawasan khemah yang didirikan seminggu lalu di tengah ibu negara bagi mendesak pembaharuan sektor perumahan.
Demonstrasi itu meneruskan bantahan yang memasuki hari kelapan susulan pengusiran seorang pesara berusia 87 tahun, Maricarmen Abascal, dari kediamannya di Madrid bulan lalu, yang mencetuskan kemarahan terhadap peningkatan kos perumahan di negara itu.
Demonstrasi lebih kecil turut diadakan di Palma de Mallorca, Santander, Segovia dan Toledo, manakala lima orang ditahan di Valencia selepas berlaku pertembungan dengan polis, menurut laporan media tempatan.
Dalam demonstrasi di Madrid, seorang pustakawan berusia 26 tahun, Marcos Sainz, berkata harga sewa kediaman di ibu negara semakin tidak mampu ditanggung.
Beliau berkata sebelum ini dia menyewa apartmen dua bilik bersama rakan dengan kadar keseluruhan 900 euro (kira-kira RM4,400) sebulan, namun kini sebuah apartmen satu bilik sahaja boleh mencecah 1,000 euro (kira-kira RM4,900), hampir separuh gaji bulanan median di Madrid.
Seorang pemasang panel solar berusia 31 tahun yang hanya dikenali sebagai Javier pula berkata sebahagian daripada gajinya kini digunakan untuk menyewa sebuah bilik kecil.
“Kami menuntut hak asas, iaitu kediaman yang sempurna, kestabilan dan keadaan yang membolehkan kami membina kehidupan yang baik,” katanya.
Jurucakap Kesatuan Penyewa yang menganjurkan demonstrasi, Valeria Racu, turut menggesa supaya mogok umum diadakan bagi memberi tekanan kepada kerajaan.
Krisis perumahan sudah bertahun-tahun menjadi antara kebimbangan utama rakyat Sepanyol ketikapembangunan perumahan gagal memenuhi permintaan, menyebabkan harga sewa dan rumah terus meningkat.
Menurut laman hartanah Idealista, purata kadar sewa di Sepanyol hampir dua kali ganda dalam tempoh sedekad lalu, manakala harga permintaan bagi rumah meningkat kira-kira 90 peratus.
Bantahan tercetus selepas cadangan kerajaan Perdana Menteri Pedro Sánchez untuk memberikan perlindungan lebih besar kepada penyewa ditolak Parlimen pada Jumaat.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk pembaharuan automatik kontrak sewaan dan sekatan terhadap pengusiran penyewa yang berada dalam keadaan rentan.
Sementara itu, cadangan perumahan kerajaan gabungan berhaluan kiri Sánchez gagal diluluskan selepas parti pemisah Catalonia, Junts, yang sokongannya diperlukan kerajaan, mengundi menentangnya atas alasan langkah berkenaan tidak cukup kukuh.
Junts turut bergabung dengan parti pembangkang utama, Parti Popular (PP), dan parti berhaluan kanan Vox dalam menolak langkah tersebut.
Ketua PP Alberto Núñez Feijóo pada Sabtu menggesa Sánchez mengadakan pilihan raya awal dengan alasan keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan. – AFP