
PUTRAJAYA, 1 Oktober – Seramai 268,005 pembayar cukai tampil mengemukakan 1.99 bilion e-Invois di seluruh negara setakat hari ini.
- Kenaikan ambang e-Invois daripada RM1 juta ke RM3 juta, membebaskan PMKS bawah RM3 juta daripada pelaksanaan.
- Pelaksanaan e-Invois dimulakan secara berperingkat sejak 1 Ogos 2024, dengan liputan Fasa 1 hingga 3.
- HASiL menawarkan PKPS e-Invois, PKPS Duti Setem dan kempen Pengakuan Sukarela Cukai Pendapatan untuk memudahkan pematuhan.
- Bulan HASiL 2026 "Lapor Sukarela, Tanggungjawab Bersama" dan Jelajah Literasi sediakan khidmat pelanggan serta bimbingan percukaian kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin memaklumkan daripada jumlah tersebut, seramai 196,031 pembayar cukai direkodkan di bawah Fasa 4.
“Pelaksanaan e-Invois adalah secara berfasa dan baru-baru ini, telah diumumkan kenaikan nilai ambang pelaksanaan daripada RM1 juta kepada RM3 juta yang telah memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dam di bawah RM3 juta, mereka tidak perlu melaksanakan e-Invois,”jelasnya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan HASiL 2026.
Tambahnya, e-Invois yang mula dilaksanakan secara berperingkat pada 1 Ogos 2024 telah mencatatkan 5,582 pembayar cukai bagi Fasa 1, sementara bagi Fasa 2 seramai 14,579 dan Fasa 3 melibatkan 51,815 pembayar cukai.
Dalam pada itu, lebih 620,000 fail cukai syarikat dan lebih 7.6 juta fail cukai individu berstatus aktif dicatatkan setakat 31 Ogos lepas
Beliau terdahulu dalam ucapannya menyatakan penganjuran Bulan HASiL 2026 bertemakan ‘Lapor Sukarela, Tanggungjawab Bersama’ menjadi platform bagi pembayar cukai mengemaskini rekod percukaian secara sukarela.
“HASiL turut menyediakan pelbagai kemudahan pematuhan menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) e-Invois, PKPS Duti Setem dan Kempen Pengakuan Sukarela Cukai Pendapatan.
“Ringkasnya, PKPS e-Invois memberi tumpuan kepada pematuhan e-Invois, PKPS Duti Setem membuka ruang untuk menyelesaikan urusan penyeteman dengan manfaat pengecualian penalti yang ditawarkan.
”Kempen Pengakuan Sukarela Cukai Pendapatan pula memberi peluang untuk memperbetulkan kedudukan cukai pendapatan dengan kadar penalti yang rendah,”katanya.
Sempena Bulan HASiL sepanjang Oktober ini, pegawai HASiL turun padang ke seluruh negara menerusi program Jelajah Literasi HASiL 2026 bagi memberikan khidmat pelanggan serta bimbingan percukaian secara terus kepada masyarakat.