
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Penampilan sulung GB Bond Holdings Bhd di Pasaran Ace Bursa Malaysia bermula positif dengan didagangkan pada harga 25.5 sen sesaham ketika dibuka pagi tadi.
- Terbitan awam meraih RM16.08 juta untuk peningkatan kapasiti dan pengembangan operasi ke Vietnam.
- RM5.50 juta diperuntukkan untuk sewa kilang baharu 40,000 kaki persegi dan pembelian jentera; kapasiti meningkat 30 hingga 35 peratus.
- RM3.50 juta untuk pejabat jualan di Vietnam dalam enam bulan, dan RM0.90 juta bagi peralatan formulasi serta pengujian.
Saham pengeluar pelekat dan bahan pengedap industri itu dua peratus lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen.
Ketika kaunter dibuka sebanyak 19.74 juta saham didagangkan.
Terbitan awam syarikat itu berjaya meraih hasil berjumlah RM16.08 juta, dengan sebahagian besar bakal dibelanjakan untuk peningkatan kapasiti dan pengembangan operasi ke Vietnam.
Pengarah Eksekutifnya, Gooi Zi Jing berkata daripada hasil itu, RM5.50 juta akan diperuntukkan untuk penyewaan kilang baharu berkeluasan kira-kira 40,000 kaki persegi di Bukit Panchor, Pulau Pinang, selain pembelian jentera pengeluaran.
”Kilang baharu itu dijangka berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi barisan produk pelekat sebanyak 30 hingga 35 peratus.
“Selain peluasan kilang, RM0.90 juta diperuntukkan bagi peralatan formulasi produk,” jelas beliau pada sidang media penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia.
Tambahnya, pelaburan tersebut akan memperkukuh keupayaan kumpulan dalam aspek pengujian dan analisis, sekali gus menyokong pembangunan serta penambahbaikan pelekat yang disesuaikan dengan aplikasi industri tertentu.
Selain itu, RM3.50 juta akan digunakan untuk menubuhkan dan menyokong operasi pejabat jualan tempatan di Vietnam, yang dijangka ditubuhkan dalam tempoh enam bulan selepas penyenaraian syarikat.