
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Kestabilan pasaran pekerjaan dan pertumbuhan gaji dijangka terus menyokong kuasa beli isi rumah dalam tempoh enam bulan akan datang, tetapi peningkatan kos sara hidup bepotensi melonjakkan tekanan inflasi.
- Sektor pengguna kekal berdaya tahan disokong pendapatan isi rumah yang stabil.
- Pengguna menjadi lebih terpilih, mengutamakan barangan keperluan serta makanan dan minuman berharga berpatutan.
- Inflasi keseluruhan meningkat disebabkan kos pengangkutan dan elektrik, inflasi makanan juga naik dan risiko El Nino boleh memburukkan bekalan.
- Kenaikan kos buruh, makanan, logistik dan tenaga dijangka mengehadkan margin perniagaan, terutamanya bagi yang kurang ruang menaikkan harga.
Apex Securities Research berkata, sektor pengguna Malaysia kekal berdaya tahan, disokong pendapatan isi rumah yang stabil, walaupun corak perbelanjaan pengguna dijangka menjadi lebih terpilih berikutan ketidaktentuan ekonomi.
Katanya, pengguna dijangka lebih berhati-hati dalam berbelanja dan cenderung mengutamakan barangan keperluan serta makanan dan minuman pada harga berpatutan berbanding barangan bukan keperluan yang bernilai lebih tinggi.
“Perkembangan itu selari dengan penurunan Indeks Keyakinan Pengguna Malaysia kepada 123 mata pada suku kedua 2026 berbanding 135 mata pada suku pertama, mencerminkan kebimbangan terhadap ketidaktentuan luaran dan kos sara hidup.
“Pada masa sama, inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.9 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026 daripada 1.8 peratus pada Julai, didorong peningkatan kos pengangkutan dan elektrik,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, inflasi teras bagaimanapun susut kepada 1.7 peratus daripada 1.8 peratus pada Julai, menunjukkan tekanan harga domestik masih terkawal.
Katanya, peningkatan kos makanan juga perlu diberi perhatian apabila inflasi makanan dan minuman meningkat kepada 1.9 peratus pada Ogos daripada 1.4 peratus pada Jun.
“Harga komoditi yang tinggi serta kemungkinan gangguan bekalan berkaitan fenomena El Nino berpotensi memberi tekanan lanjut kepada kos makanan.
“Dari sudut perniagaan, peningkatan kos buruh, makanan dan logistik pula dijangka mengehadkan pengembangan margin, khususnya bagi syarikat yang mempunyai ruang terhad untuk menaikkan harga.
“Kos tenaga yang lebih tinggi juga boleh meningkatkan perbelanjaan operasi, terutama bagi perniagaan yang bergantung kepada pengangkutan, penghantaran dan pengedaran,” katanya.