
CYBERJAYA, 3 Oktober – Lebih 1,000 inovator muda, pendidik dan delegasi antarabangsa berhimpun sempena World Future Championship (WFC) 2026 dan CIPTRIX Global Competition 2.0 & Global Gateway, yang berlangsung di Multimedia University (MMU) Kampus Cyberjaya di sini.
- WFC menekankan penglibatan belia dalam AI, sukan dron kompetitif dan robotik autonomi.
- WFC berfungsi sebagai platform menghubungkan bakat muda dengan peluang inovasi teknologi antarabangsa.
- MoU Be STEM Ready dan Technoxian India sedia laluan pertukaran, penyelidikan STEM bersama, liga pelajar rentas sempadan dan pensijilan pendidik.
- Malaysia akan tuan rumah Technology and World Cup 10.0 dengan 15 kategori, termasuk lumba dron dan robot perang kali pertama di negara ini.
Pengasas Be STEM Ready, Camila Lau berkata, acara bertaraf global itu mengetengahkan penglibatan golongan muda dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sukan dron kompetitif dan robotik autonomi.
“WFC berperanan sebagai platform yang menghubungkan bakat muda dengan peluang inovasi teknologi di peringkat antarabangsa.
“Platform berkenaan turut menghimpunkan penyertaan dan jaringan antarabangsa dari pelbagai negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Be STEM Ready dan Technoxian India di sini.
Kerjasama itu membabitkan laluan pertukaran strategik antara Malaysia, Asia Tenggara dan India, termasuk dalam bidang penyelidikan STEM bersama, liga pelajar rentas sempadan serta program pensijilan pendidik.
Sementara itu, Presiden World Robotics Sports Organization (WORSO), Rajkumar Sharma, memaklumkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Technology and World Cup 10.0 pada tahun depan.
“Kami mempunyai 15 kategori pertandingan yang memerlukan kepakaran kejuruteraan bertaraf tinggi, dan para pelajar akan berpeluang mempamerkan kemahiran mereka.
“Antaranya ialah pertandingan lumba dron dan robot perang, yang akan diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia,” katanya.
Acara edisi ke-10 itu dijangka menghimpunkan lebih 60 negara dan 3,000 pasukan, dengan 15 kategori pertandingan.
“Sebelum datang ke Malaysia, pasukan dari negara masing-masing telah terlebih dahulu menyertai kejohanan kebangsaan.
“Jadi, pasukan terbaik dari seluruh dunia akan hadir untuk mempamerkan kepakaran mereka dalam robotik, dron dan kecerdasan buatan,” katanya.
Technology and World Cup 10.0 dijadualkan berlangsung di Universiti Multimedia (MMU) pada 30 Januari hingga 2 Februari 2027.