F1: Perkhidmatan bas perantara lebih teratur pengunjung mahu bas ditambah

Pengunjung menggunakan perkhidmatan bas perantara ke Litar Sepang/Foto MyRapidKL

SEPANG, 3 Oktober – Perkhidmatan bas perantara ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilihat lebih teratur pada hari kedua terutama bagi pergerakan pengunjung dari kawasan parkir ke lokasi acara bersempena dengan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengunjung mendapati perkhidmatan bas perantara lebih lancar berbanding hari pertama, namun mahukan penambahan bas untuk keselesaan.
  • Rapid KL meningkatkan penyelarasan perkhidmatan susulan maklum balas penumpang.
  • Pengunjung minta panduan arah diperkemas untuk membezakan laluan ke Mid Swing, KLIA dan kawasan parkir.
  • SIC bekerjasama dengan rakan pengangkutan dan pihak berkuasa memperkukuh pengurusan trafik dan pergerakan orang ramai.

Rata-rata pengunjung yang ditemui menyifatkan perkhidmatan bas perantara hari ini lebih lancar berbanding hari pertama, namun berharap jumlah bas dapat ditambah bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Sementara itu, Rapid KL meningkatkan penyelarasan perkhidmatan bas perantara ke SIC susulan maklum balas penumpang berhubung perjalanan ke lokasi berkenaan, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, pengendali pengangkutan awam itu memaklumkan perkhidmatan bas perantara telah dilaksanakan seperti yang dirancang, selaras dengan aturan operasi yang dipersetujui bersama pihak penganjur.

Seorang pengunjung, Muhammad Kahar, berkata jumlah bas dilihat bertambah dan pergerakan hari ini lebih selesa berbanding hari sebelumnya.

“Diharapkan pada masa akan datang pihak SIC dapat menambah baik lagi perkhidmatan ini, termasuk menambah jumlah kenderaan kerana dilihat masih belum mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Amirul berkata sistem shuttle hari ini lebih tersusun, khususnya dari kawasan parkir ke lokasi acara.

“Hari ini jauh lebih baik. Dari kawasan parkir, bas menghantar dengan lebih teratur. Apabila sampai di lokasi, sistemnya juga lebih jelas. Bila ada panduan yang betul, lebih mudah untuk kami ikut laluan,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi pengunjung, Nur Najihah, berkata aspek panduan arah masih perlu diperkemas, terutama bagi membezakan laluan ke kawasan seperti Mid Swing, KLIA dan parkir.

“Bas memang ada banyak hentian, tetapi orang yang tidak tahu nak ke mana akan keliru. Semua orang hanya beratur dan tunggu,” katanya.

Terdahulu SIC bekerjasama dengan rakan pengangkutan dan pihak berkuasa bagi memperkukuh pengurusan trafik, perkhidmatan pengangkutan dan pergerakan orang ramai.

SIC memaklumkan langkah itu susulan kesukaran yang dihadapi sebahagian peminat ketika keluar dan masuk ke litar semalam, terutama pada sebelah petang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.