Pertikaian pelaporan media: Guna saluran rasmi Majlis Media Malaysia – DS Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) menyampaikan sumbangan Sejahtera MADANI kepada penerima selepas Majlis Perasmian Program MADANI Kita Bersama Komuniti Kota Anggerik@Shah Alam hari ini / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 3 Oktober – Orang ramai dan mana-mana pihak yang mempunyai aduan berkaitan etika pelaporan media disaran menggunakan saluran rasmi Majlis Media Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu timbul susulan dakwaan pencerobohan privasi dan tindakan tidak wajar petugas media ketika membuat liputan bekas Perdana Menteri.
  • MCMC mengenal pasti dan memadam beberapa akaun yang menyebarkan kandungan jelik melampau, dipercayai menggunakan teknologi AI.
  • MCMC bersama PDRM sedang menjejaki pihak yang menghasilkan kandungan berkenaan.
  • Kelab Media Putrajaya membuat laporan kepada MCMC dan PDRM terhadap akaun yang mengubah imej wartawan menjadi haiwan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, saluran itu disediakan bagi memastikan aduan berkaitan laporan berita atau tindakan petugas media dikendalikan dengan sewajarnya.

“Sekiranya ada isu berkaitan pelaporan media, permohonan maaf atau perkara yang ingin ditegur, mekanismenya adalah melalui saluran aduan rasmi Majlis Media Malaysia.

“Pautan aduan telah disediakan dan pihak yang terlibat boleh mengemukakan maklum balas melalui platform tersebut,” katanya selepas merasmikan Program MADANI Kita bersama Komuniti Kota Anggerik @ Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohd Hisyamuddin Ghazali.

Saranan itu dibuat susulan dakwaan pencerobohan privasi dan tindakan tidak wajar membabitkan petugas media ketika membuat liputan berkaitan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti beberapa akaun yang menyebarkan kandungan jelik melampau, termasuk kandungan yang dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengaibkan Tun Dr Mahathir ketika pengebumian Tun Dr Siti Hasmah.

Katanya, akaun terbabit telah dipadamkan, manakala MCMC bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pihak yang menghasilkan kandungan berkenaan.

“Saya lihat akaun tersebut telah dipadamkan, namun MCMC bersama PDRM sedang menjejaki pihak yang menghasilkan kandungan jelik melampau tersebut.

“Saya ingin memberi sedikit peringatan supaya kita memberi ruang dan menghormati permintaan keluarga pada ketika mereka sedang berduka. Kita doakan Tun Dr. Mahathir dan keluarga tabah menghadapi dugaan besar ini,” ujarnya.

Semalam, Kelab Media Putrajaya Kelab Media Putrajaya (KMP) membuat laporan kepada MCMC serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap sebuah akaun media sosial yang mengubah imej sekumpulan wartawan dan jurugambar menjadi haiwan ketika menjalankan tugas membuat liputan Tun Dr. Mahathir Mohamad menziarahi pusara isterinya, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Khamis lepas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.