
BANDAR HILIR, 3 Oktober – Melaka sedang meneroka bidang baharu dalam sektor pelancongan negeri itu, termasuk pelancongan sukan, bagi menarik lebih ramai pelancong menerusi penganjuran acara bertaraf dunia pada masa depan.
- Penganjuran LTdL tunjuk minat pelancong terhadap acara sukan, membuka ruang jadikan sukan tarikan pelancongan baharu.
- Sukan permotoran diidentifikasi berpotensi menjadi ikon tarikan baharu pelancong sukan.
- Melaka rekod 11.2 juta pelancong hingga Ogos, sumbang RM11.32 bilion, kukuhkan pelancongan melalui TMM2.0.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu antara bidang yang sedang diteliti dan dikaji dalam merancang pembangunan sektor pelancongan negeri berkenaan bagi tahun depan.
Katanya, Melaka bersedia dari segi kemudahan dan fasiliti untuk menjadi penganjur utama acara sukan bertaraf dunia sekiranya diberi peluang.
“Antara yang kita sedang teliti dan kaji ialah sektor sukan pelancongan, sukan-sukan bertaraf dunia akan diminta untuk diadakan di negeri Melaka.
“Dari segi kemudahan, Melaka sentiasa bersedia memanfaatkan apa juga peluang yang diberi untuk menjadi penganjur utama acara sukan bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 peringkat ketujuh dari Bandar Hilir, Melaka ke Batu Pahat, Johor, hari ini.

Dalam perkembangan sama Datuk Seri Ab Rauf, berkata penganjuran LTdL di Melaka turut menunjukkan minat orang ramai dan pelancong terhadap acara sukan, sekali gus membuka ruang untuk sukan dijadikan antara tarikan baharu pelancongan negeri.
Menurutnya, selain sukan berbasikal, sukan permotoran juga berpotensi dijadikan ikon tarikan baharu pelancongan.
“Kita dapat lihat bukan sahaja sukan basikal, sukan permotoran juga akan dijadikan sebagai ikon kepada daya tarikan baharu pelancong sukan pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ab Rauf, berkata Melaka merekodkan 11.2 juta pelancong setakat Ogos tahun ini berdasarkan pendaftaran di sektor penginapan dan tempat-tempat pelancongan.
Jumlah itu dianggarkan menyumbang RM11.32 bilion kepada ekonomi negeri, sekali gus menunjukkan ekosistem pelancongan Melaka terus berkembang menerusi kempen Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0).
Beliau turut berharap usaha memperkukuh pelancongan sukan dapat membantu melahirkan tokoh-tokoh sukan terbaik bertaraf dunia dari Melaka, sekali gus melengkapkan identiti negeri itu sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja terkenal dengan sejarah dan warisan, malah mempunyai produk pelancongan sukan.